Thursday, October 22, 2009

GMI: Saluran kreatif tidak ganti demonstrasi jalanan.

Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) meningkatkan lagi kempen pemansuhan akta kontroversiti itu dengan menerokai pendekatan baru melalui pelbagai saluran kreatif - termasuk lagu dan persembahan pentas.

Bagaimanapun, pengerusinya, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, lagu tetap tidak dapat menggantikan peranan demonstrasi jalanan - yang masih menjadi salah satu agenda GMI.

"Peranan lagu dan demonstrasi adalah seiring. Lagu tidak boleh menggantikan demonstrasi. Demonstrasi untuk menunjukkan perasaan dan suara kita.

"Lagu pula lebih santai tetapi penuh bermesej. Ia mempunya audien yang berbeza," katanya.

Syed Ibrahim diminta mengulas pendekatan baru gerakan itu yang menganjurkan persembahan muzik Meor Yusof Aziddin - penyanyi folk indie - daripada album barunya Dari Rakyat Untuk Rakyat (DRUR) Sabtu lepas.

Album 'propaganda' yang popular dengan lagu ISA (Ikut Suka Aku) itu didukung beberapa penulis popular seperti Hishamuddin Rais, Pyanhabib, Abdullah Jones dan Rahmat Haron yang tampil menyumbangkan lirik.

Album yang memuatkan sepuluh lagu pelbagai genre itu, antaranya memuatkan mesej mengajak rakyat turun berdemonstrasi, mengkritik YB yang menipu rakyat, merakamkan tragedi Memali hampir 30 tahun lalu dan penghargaan kepada tokoh Parti Komunis Malaya (PKM) Shamsiah Fakeh.

Ketika dihubungi Malaysiakini pagi ini, Syed Ibrahim berkata, selain menyediakan pentas, GMI juga membantu Meor - yang juga pemuzik jalanan - dengan membeli DRUR dalam jumlah yang banyak bernilai RM3,000 untuk diedarkan.

Selepas ini, tambah Syed Ibrahim, mereka bercadang mengadakan menjelajah di negeri-negeri Pakatan bagi meluaskan mesej anti-ISA.

"Tetapi mungkin ada yang berbeza pendapat (tidak bersetuju) dengan lagu-lagu ini. Mungkin ada sedikit kontroversi, dengan (penggunaanm) gitar dan sebagainya, tetapi penyampaian (Meor) itu ikhlas. Kalau ia melalaikan, meyebabkan kita lupa pada Tuhan, saya pun tidak sokong.

"Tetapi ia mengukuhkan prinsip asas yang besar seperti kebenaran dan keadilan," katanya, merujuk kepada pandangan tradisional ahli agama yang beranggapan bahawa muzik Barat melalaikan.

Beliau juga berkata, beberapa tahun lalu, GMI pernah terlibat dengan album yang mempunyai tema hampir serupa di pasaran, Di Palang Ini nyanyian kumpulan nasyid La Khauf.

sumber.

Friday, October 16, 2009

Mari support Mahathir menentang "detantion without trial"

"14. Present at this conference will be people like Hans von Sponeck, Dennis Halliday, Michel Chossudovsky, Cynthia Mckinney, the victims of Guantanamo Bay in Cuba, the people who had been tortured and many others. They will tell of the laws which prohibit torture, the tortures carried out in Guantanamo and Abu Ghraib, the detentions without rial and without laws by the very people who talk about human rights, about the rule of law and a lot more."


Petikan dr blog che det ni sgt lah mengejutkan.

Obviously, Guantanamo Bay pernah diguna oleh seorang menteri UMNO sebagai dalil untuk menghalalkan ISA di malaysia.

Ada pulak ayat ni "the detentions without rial and without laws by the very people who talk about human rights".

Kelakar apekah yg cuba dicetuskan oleh chedet ni?

Macam mana pon, atas tajuk menentang tahanan tanpa bicara, wa menyokong usaha mahathir ni.

Marilah bersama mahathir menentang "detentions without trial"

Huwekkkk!!!(Wat posting sambil rasa nak muntah)

Bila diuji dengan ISA... Berdosa kalau diam, Norlaila. Bahagian 4,tamat.

"Semua orang akan mati, tapi tidak semua orang akan kena ISA. Jadi bagi saya, mungkin telah ditakdirkan oleh Allah, saya kena ISA. Jadi bila kita dah diuji dengan ISA ni, anda tak boleh hanya mendiamkan diri, tahu?"

"Kalau kamu diam," sambil memandang ke arah suaminya, bekas tahanan ISA, Norlaila Othman sambung, "Mat, berdosa ya?"

Demikianlah keyakinan dan ketabahan seorang aktivis Gerakan Mansuhkan ISA, Norlaila Othman (gambar kiri) apabila memilih untuk menentang ketidakadilan yang menimpa pada diri dan keluarganya. Suaminya, Mat Sah Mohd Satray ditahan di bawah Akta Keselamatan Negeri (ISA) pada tahun 2002, meninggalkannya bersama seorang anak yang berumur 8 tahun ketika itu, untuk memulakan penderitaan hidup yang bakal dilanjutkan setiap dua tahun...

Sesungguhnya, tujuh tahun bukanlah jangka yang pendek. Bukan senang untuk menahan keperitan hidup, namun lebih sukar untuk menahan godaan. Seperti Mat Sah, Norlaila juga berdepan dengan dilema, apabila diberitahu bahawa tempoh penahanan suaminya dilanjutkan kerana penglibatan dirinya dalam perjuangan Mansuhkan ISA.

Pernahkah Norlaila terfikir untuk mengundur diri dari perjuangan tersebut, apabila digoda dengan "kemungkinan Mat Sah dibebaskan lebih awal"?

"Pernah, tapi terlintas saja." Jawapan Norlaila sama dengan suaminya. Cuma, dari mana datangnya keyakinan dan ketabahan Norlaila?

Punca keyakinan dan ketabahan

Bukan seperti Wan Azizah Wan Ismail yang sebelum ini berperanan sebagai "isteri Timbalan Perdana Menteri" sebelum suaminya ditendang dari puncak kuasa, Norlaila hanyalah seorang guru sekolah menengah. Ketika Anwar Ibrahim ditumbangkan, keluarganya disokong gerakan reformasi dari setiap pelusuk, dijadikan tumpuan media antarabangsa, sebagai desakan untuk membebaskan tahanan politik tersebut.

Namun, ketika Mat Sah digari dan dibawa pergi hanya dengan alasan "mengancam keselamatan negara", masyarakat sedang diselubungi ketakutan terhadap serangan pengganas, ekoran daripada tragedi 911 yang berlaku beberapa bulan yang lepas. Malah, PAS yang ketika itu ditonjolkan dengan imej pengganas oleh propaganda kerajaan BN, turut berasa ragu-ragu untuk membantu keluarga Mat Sah.

Namun, Norlaila bukan bersendirian. Ketika mengimbas pengalaman pahit yang lalu, Norlaila tidak melupakan bantuan yang dihulurkan wartawan dari Harakah, Malaysiakini dan sebagainya. Yang lebih penting, apabila Norlaila berdepan dengan jalan buntu, kawan-kawannya dari Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) dijadikan sandaran.

"Saya luahkan perasaan saya, mereka akan dengar dan kata kepada saya, 'inilah perjuangan, oleh Wan Azizah dan yang lain. Semua wanita struggle, and you are not alone (kamu bukan bersendirian). Kalau kamu nak memperjuangkan keadilan, inilah harga yang mesti dibayar!'" ceritanya.

"We will always be with you, (Kami akan sentiasa bersama anda)" inilah kata-kata daripada kawan Norlaila yang menyuntik semangat agar tidak rebah di tengah perjuangan.

"Kesian dia Mat Sah, bila sampai dia mati orang akan kata dia terrorist (pengganas). Sampai anaknya Suhaib, ada cucu, orang akan kata cucu bekas tahanan ISA. Padahal, Mat Sah orang baik, dianiaya dan dijadikan scapegoat (kambing hitam)."

Inilah kata-kata yang diterima oleh Norlaila sepanjang tujuh tahun. Sokongan sedemikian tidak datang melimpah begitu sahaja. Norlaila mendedahkan rahsianya, "Sebelum orang support (sokong) kita, kita perlu ke depan kan, supaya orang nampak kita!"

Perjuangan berlandaskan prinsip

Ramai yang tertanya-tanya, apakah Norlaila akan mengundur diri selepas suaminya dibebaskan? Norlaila bukan pemimpin Hindraf yang mampu mengerah puluhan ribu penyokong ke jalan raya, tetapi jiwa perjuangannya lebih besar daripada itu.

Norlaila yang rajin membaca, merujuk fakta sepanjang perjuangan membebaskan suami dirinya, memperolehi keyakinan daripada ilmu pengetahuan. Norlaila berasa bertanggungjawab untuk membetulkan persepsi sesetengah orang PAS, bahawa ISA boleh digunakan terhadap komunis.

Dari pembacaan, Norlaila mendapati tahanan ISA meliputi ahli kesatuan yang memperjuangkan kepentingan buruh, pekerja kilang, peladang dan sebagainya, yang digolongkan sebagai "orang kiri". Malah, Norlaila menganggap komunis turut menyumbang dalam memperjuangkan kemerdekaan tanahair ini, cuma melalui cara yang mereka junjung.

"ISA bukan untuk menangkap komunis yang berjuang di hutan. Itu mitos sahaja." katanya. Norlaila kemudian menyusul, "Sebenarnya ISA untuk menjaga kemelayuan, hak-hak melayu. Bukan hak rakyat Melayu, tapi hak Melayu orang UMNO sahaja. Bukan UMNO semua, tapi segelintir pemimpin UMNO sahaja."

Beliau akhirnya menyimpulkan,"ISA bukan untuk komunis, tetapi alat politik segelintir orang UMNO untuk memastikan survival politik mereka. Itu saja."

Maka, Norlaila menemui jawapan untuk mereka yang teragak-agak untuk menyokong Gerakan Mansuhkan ISA. "The main idea is 'detention without trial'. Kita pegang kepada prinsip. Kamu tak persoalkan kamu ni PAS, DAP, Hindraf, atau Komunis?"

Berasaskan pengetahuan, kepercayaan agama, kata semangat daripada rakan seperjuangkan, Norlaila dengan tabah tampil di pentas antarabangsa, mendedahkan kisah bagaimana keluarganya dibayangi bintik hitam dalam Malaysia yang dilihat sebagai syurga.

"Ramai yang menangis selepas mendengar pengalaman saya, dalam satu convention di Geneva", dan ini amat bermakna sekiranya dilihat dalam konteks "suasana global untuk memerangi pengganas".

Dalam tempoh tujuh tahun, Norlaila cuba segala upaya untuk memperjuangkan pembebasan suaminya dan pemansuhan ISA. "Segalanya saya lakukan dengan beradab, tetapi apabila kerajaan kurang ajar dengan kita, perlulah kita untuk terus mengajarnya."

Demikianlah seorang wanita yang mengharungi ranjau hidup tujuh tahun. Kepada sesiapa yang masih meragui "kesetiaan" Norlaila untuk tetap bersama perjuangan ini selepas itu, mungkin tersenyum apabila melihat isteri ini dengan manja mengajak suaminya untuk bersama memperjuangkan keadilan. Dengan lembut Norlaila bertanya kepada Mat Sah, di depan wartawan, "Janji ya?" (Bahagian keempat, tamat)

Sumber.

Wednesday, October 14, 2009

Kita masih dalam ISA, Norlaila. Bahagian 3.

"Dia (Mat Sah) bukan dibebaskan. Dia dicampakkan keluar dari kem Kamunting ke depan rumah saya," demikianlah luahan Norlaila Othman, isteri Mat Sah Mohd Satray, bekas tahanan ISA yang dilepaskan pada 15 September lalu.

"Dia belum bebas..., kalau bebas dia nak tengok kubur maknya pun tak dapat lagi... Kalau ikut peraturan, dia nak hantar anaknya ke sekolah di Gombak pun tak boleh. Kalau dia sakit, dia tak dapat ke General Hospital seperti HKL(Hospital Kuala Lumpur). Dia tak boleh pergi ke HUKM (Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia), Cheras...," sambung Norlaila (gambar kiri), merujuk kepada sekatan yang dikenakan terhadap Mat Sah.

Mat Sah, walaupun dikeluarkan dari Kemta (Kem Tahanan Kamunting) sebelum Hari Raya Aidilfitri, terpaksa akur kepada beberapa syarat. Beliau hendaklah tinggal dalam kawasan Daerah Polis Ampang Jaya, Selangor; dan tidak boleh meninggalkan kawasan tersebut tanpa kebenaran bertulis Ketua Polis Negeri atau Wilayah Persekutuan yang berkenaan.

Malah, Mat Sah wajib melaporkan diri di balai polis setiap Isnin, dan berada di rumah dari jam 9 malam hingga 6 pagi, kecuali mendapat kebenaran polis. Dengan kata lain, Mat Sah hanya bebas bergerak di sekitar Ampang pada sebelah pagi, dan terkurung di rumah kediamannya pada sebelah malam.

Ini namanya lepas, tapi tak bebas. "Tak bebas" bukan hanya tertakluk kepada kebebasan bergerak, namun juga hak asasi yang termaktub dalam perlembagaan. Kementerian Dalam Negeri mengenakan sekatan dalam hitam putih, melarang beliau untuk berucap di khalayak ramai, berpersatuan, malah berpolitik. Hak asasi Mat Sah hanya seluas satu petak pada kertas undi.

Pada hakikatnya, Mat Sah masih berada dalam tahanan yang dilanjutkan (dua tahun) pada tahun Jun 2008. Arus manusia yang turun berdemonstrasi pada 1 Ogos, hanya mengeluarkan Mat Sah dari Kemta, ke satu kawasan bernama Ampang, yang berlangitkan bulan dan bintang pada sebelah malam.

"Kerajaan telah rosakkan suami saya!"

Namun, kuasa rakyat belum lagi mengeluarkan Mat Sah dan keluarganya dari Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Ia bukan sekadar kekhuatiran Norlaila terhadap anaknya Suhaib, dan anak-anak Malaysia lain yang berkemungkinan menjadi mangsa selagi ISA tidak dimansuhkan, tetapi kesan ISA yang meresap dengan begitu mendalam di hati mereka, dalam kehidupan harian mereka.

"Saya rasa dia telah dibodohkan dalam tujuh tahun, bukan 'dipulihkan'...," secara terus terang Norlaila menceritakan apa yang terjadi ke atas suaminya, menyanggah hujah rasmi kerajaan bahawa Mat Sah telah "dipulihkan".

Pengasingan ketika dalam tahanan, peraturan-peraturan yang dikenakan ke atasnya telah membuatkan Mat Sah (gambar kanan) semakin mundur dari segi fikiran, malah menjadikannya seorang yang malas fikir.

"Saya kena pulihkan dia balik...," kata Norlaila. Ketika ditanya apakah perwatakan Mat Sah tujuh tahun yang lalu, orang yang paling rapat dengannya ini menjawab," Dia seorang yang sangat cheerful (ceria)..., seorang bapa yang mesra dengan kami. Otaknya memang kerja nak cari duit saje...dia buat OT (over time)...it was seven years ago(tujuh tahun yang lalu)!"

"We lost everything for seven years, including the job. (Kami kehilangan segala-galanya dalam tujuh tahun ini, termasuk pekerjaannya)". Norlaila bersambung, "Dia jadi lain daripada tujuh tahun yang lalu. Suis lampu pun dia tak tutup. (Kita)... kena ulang bila cakap kepadanya..."

Norlaila tidak dapat mengawal kemarahannya, mengimbas kembali bagaimana dia perlu membayar untuk "membaiki suaminya yang rosak" ketika dalam tahanan. Norlaila menanggung kos rawatan gigi dan kaki Mat Sah ketika dalam tahanan, sementara berbelanja untuk membelikan makanan yang lebih baik untuk suami dan tahanan yang lain apabila melawat Kemta.

"Kerajaan telah rosakkan suami saya, kerana simpannya terlalu lama, tanpa sebarang alasan, tanpa perbicaraan di mahkamah...," kata Norlaila, "...sedangkan kita hidup di bumi yang sama, Malaysia. Dan kita mempunyai pemimpin yang sama. Tapi kenapa kehidupannya berbeza, dan on top of everything, dia tak pernah dibicarakan? Kalau dia convict (disabitkan kesalahan), saya terimalah, kan? Tapi because he is not convict... Dia bukan banduan!"

"Jadi saya tak puas hatilah. Dan saya akan sumpah orang yang... SB-SB yang jahat, bekerja untuk menahan orang bawah ISA, membuatkan mereka ditahan bertahun-tahun, mereka cipta pelbagai alasan untuk menahan mereka dengan lebih lama... Bagi saya ini adalah orang-orang yang pengecut, yang langsung tidak menghormati perlembagaan Malaysia."

Berbeza dengan tahanan lain yang bersyukur kepada kerajaan setelah "dibebaskan", Norlaila memesan Mat Sah untuk hanya bersyukur kepada Tuhan, dan bukannya kepada kerajaan kerana kerajaan inilah yang menyusahkan keluarganya untuk tujuh tahun tanpa perbicaraan.

Dunia Mat Sah berubah

Penahanan Mat Sah mengubah segala-galanya. Norlaila berkata, "Dia macam seorang yang baru keluar dari gua. Dia tak tahu apa-apa... bila saya bawa dia berjalan, banyak benda baru, banyak bertanya..."

Norlaila berkongsi pengalaman hidup mereka dengan wartawan MerdekaReview, dalam satu wawancara. Di sebalik "cerita lucu" yang kadang-kala membuat wartawan, termasuk dirinya tergelak, namun tetap menyayat hati apabila direnung kembali.

Pernah sekali Norlaila membawa Mat Sah ke pasar, dikejutkan apabila Mat Sah menjerit "ikan" sambil menuding kepada ikan yang dijual di situ. Gelagatnya mencungkil minat Norlaila, sambil membelek ikan tersebut untuk melihat apa yang luar biasa. Rupa-rupanya Mat Sah tidak pernah melihat ikan yang sebesar itu dalam tujuh tahun tahanannya.

Malah, Mat Sah merasakan semua orang hendak melanggarnya apabila berjalan di pasar raya. Beliau yang diasingkan bersendirian untuk bertahun-tahun tidak selesa dengan orang ramai. Bahkan apabila pertama kali Mat Sah melangkah ke rumahnya selepas tujuh tahun, beliau merasakan rumahnya seolah-olah penuh dengan "semak-samun", wahal hanya sofa dan sedikit hiasan yang ada pada ruang tamunya.

Jelas, dunia Mat Sah telah berubah. Beliau sudah biasa dengan ikan yang kecil, ruang yang kekosongan. Malah, beliau gagal mengagak benda dalam bilangan yang besar. Apabila Norlaila membawanya ke KFC, membeli makanan untuk ahli keluarga yang menziarahinya, Mat Sah berdegil dengan berkata "cukuplah satu barrel", padahal makanan itu sememangnya tidak cukup.

Dunia Mat Sah semakin mengecil, kekosongan, malah tertinggal dari rentak zaman apabila berasa pelik dengan alat-alat teknologi canggih seperti telefon bimbit, smart-tag, komputer dan internet.

Hubungan keluarga...

Untuk tujuh tahun yang lalu, jarak antara Mat Sah dengan anak tunggalnya, Suhaib disarat penuh dengan kerinduan. Jarak ini belum dirapatkan walaupun Mat Sah telah kembali ke pangkuan anaknya.

Menurut Norlaila, Mat Sah menjadi serba salah apabila ingin menegur anaknya. Begitu juga apabila Suhaib ingin bercakap dengan ayahnya, Suhaib akan memandang ke Norlaila, sambil memuncungkan mulutnya ke arah Mat Sah, "cakap dengan tu... Suhaib nak pergi KL..."

"Terlalu lama mereka berpisah..., " Norlaila mengaku bahawa belum lagi kedua-dua bapa dan anak ini mesra semula setelah dipisahkan sekian lama. Norlaila sendiri berdepan dengan keadaan yang sama, apabila merasakan ada seorang lelaki asing berada di biliknya, pada malam pertama Norlaila balik dari Sabah untuk bertemu dengan Mat Sah di rumah.

Malah, Mat Sah yang agak kendur dalam pergerakannya dan pemikirannya, kadang-kala mencungkil kesangsian Suhaib. Suhaib pernah tanya kepada ibunya Norlaila, sambil melihat ke arah Mat Sah dan menuding ke arah otak dirinya, "dia tu, (mental) ok tak?"

Walau bagaimanapun, anak lelaki yang separuh umurnya hidup tanpa bapa, kini menampakkan keceriaan di wajah setelah Mat Sah dibebaskan, menurut pemerhatian Norlaila. Bagaimanapun, anak yang juga turun berdemonstrasi untuk menuntut pembebasan bapanya, cuba membaiki hubungan dengan ayahnya, apabila mengajak agar ayahnya menghantarnya untuk bermain di padang.

Wartawan dapat perhatikan keceriaan di wajah Mat Sah berbaur dengan kekesalan. Tujuh tahun Mat Sah dihalang untuk menunaikan tanggungjawabnya sebagai seorang ayah dan suami... hanya kerana ISA.

Sumber.

13 Mei berulang tanpa ISA? Bahagian 2.

"Kalau tak ada ISA ni, dalam tempoh lima tahun-lah, pergaduhan kaum akan berlakulah. Melayu, Cina, India akan... macam 13 Mei."

"Kalau tak ada ISA, memang susahlah... susah kerjanya sebab nak tangkap pun tak ada bukti. Kalau ada ISA bolehlah tangkap saja. Senang saja."

Demikianlah antara propaganda yang cuba ditusuk ke dalam minda tahanan ISA, dengan pengakuan oleh Special Branch (perisik, biasa dikenali sebagai SB) pada hari-hari akhir sebelum Mat Sah Mohd Satray dibebaskan.

"JI" tidak disebut semasa tangkapan

Tujuh tahun tahanan Mat Sah dimulakan dengan alasan tangkapan yang berbunyi "mengancam keselamatan negara", dilempar pula label "ahli Jemaah Islamiyyah (JI)" dan "Kumpulan Militan Malaysia (KMM)" semasa soal siasat, dan dilanjutkan tempoh tahanan kerana "masih berada dalam suasana global memerangi pengganas".

Pada malam 17 April 2002, kediaman Mat Sah dirempuh 12 orang polis. Mat Sah digari, sementara rumahnya digeladah. "Apabila saya tanyakan mana waran tangkapan, mereka kata 'tak payah waran' kerana mereka 'pegawai gred A'," kata Norlaila Othman (gambar kiri, kanan), isteri Mat Sah yang hanya dapat menatap bayang suaminya dibawa pergi sambil menahan sebak.

Apa yang berlaku tujuh tahun lalu masih segar dalam ingatan Norlaila. "Mereka tak sebut pun perkataan 'JI' atau 'KMM' (semasa tangkapan), cuma kata 'kami ada alasan-alasan untuk menahan anda di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri kerana mengancam keselamatan negara'."

Keesokannya, media cetak arus perdana menyiarkan berita bahawa KMM cuba sabotaj untuk meletupkan pelabuhan Klang. Masyarakat diselubungi ketakutan terhadap serangan pengganas, berikutan tragedi serangan pengganas pada 11 September 2001.

Mat Sah yang berada dalam tahanan polis pula diselubungi kesejukan, disoal siasat dari jam 9 pagi hingga 5 petang, oleh tiga orang pegawai secara bergilir. Malah, Mat Sah yang menggigil di bawah penghawa dingin itu tidak dibenarkan ke tandas, hanya dibekalkan botol air mineral ketika membuang air.

"...tak bersedia nak terima kita"

Mat Sah, seorang technician yang berkhidmat dengan Dewan Bahasa Pustaka (DBP) pada ketika itu, dikaitkan dengan Abu Bakar Bashir yang dituduh sebagai pemimpin JI. Mat Sah mengenali Abu Bakar Bashir kerana menghadiri khususnya, yang diwajibkan oleh DBP sendiri.

Maka, label terhadap Mat Sah (gambar kanan) kini bertukar dari KMM di media arus perdana, kepada JI. Tuduhan itu dipikul Mat Sah tanpa sokongan bukti. Apabila dua tahun pertama berakhir, harapan Mat Sah untuk dibebaskan berkecai kerana diberitahu 'Malaysia dah buat komitmen dengan ASEAN untuk combat (banteras) terrorism (aktiviti pengganas), lebih-lebih lagi Amerika Syarikat... '"

Malah, apabila peguam muda, Edmund Bon membuat permohonan Habeas Corpus di mahkamah untuk mencabar prosedur penahanan Mat Sah, ia berakhir dengan kekecewaan setelah hakim menolak permohonan tersebut dengan penghakiman yang berbunyi "masyarakat dunia kini sedang memerangi pengganas".

Tetapi, seandainya Mat Sah benar-benar pengganas, apa pula program "pemulihan" yang disediakan di kamunting?

"Pada saya, mereka (autoriti Kemta) tu tak bersedia nak terima kita. Nak buat macam mana tak tau...," cerita Mat Sah yang cuba mengimbas kembali apa yang berlaku dalam tahanan. Malah, autoriti Kemta sendiri bertanya kepada tahanan, apakah program yang mereka mahu untuk mengisi masa yang selebih itu?

Itulah puncanya kewujudan khusus membuat jeruk, soya dan sebagainya, sehingga menjadi pertikaian untuk mereka yang mempersoalkan sejauh manakah munasabahnya alasan penahanan?

Masa lapang Mat Sah tidak terisi. Buku hanya boleh dibaca sebelum malam menjelma kerana tiada lampu dalam bilik...

Demikianlah tujuh tahun tahanan yang dilalui oleh Mat Sah, tanpa bukti, tanpa keadilan; tanpa bulan, tanpa bintang. Selepas tujuh tahun, Mat Sah walaupun dikeluarkan dari Kemta, tetap berada dalam ISA...

Sumber.

Tuesday, October 13, 2009

Demo 1 Ogos yang bebaskan saya, Mat Sah. Bahagian 1.

Kerajaan semakin tertekan lantaran demonstrasi "Mansuhkan ISA" pada 1 Ogos yang lalu, menjurus kepada pembebasan lima orang tahanan ISA sebelum Hari Raya Aidilfitri tahun ini. Demikianlah jangkaan Mat Sah Mohd Satray, menyanggah hujah bahawa tahanan ISA dibebaskan setelah "dipulihkan secara menyeluruh".

Bahang kemarahan rakyat terhadap Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) turut dirasai Mat Sah yang terkurung di dalam Kem Tahanan Kamunting (Kemta), melalui interaksi Special Branch (perisik, biasa dikenali sebagai SB) dengannya.

SB dari Bukit Aman yang sebelum ini mengunjungi Kemta enam bulan sekali, bertemu dengan Mat Sah hampir dua minggu sekali, selepas puluhan ribu manusia membanjiri pusat bandaraya Kuala Lumpur dengan laungan slogan "Mansuhkan ISA".

Lepas bebas, bubar GMI...

Sehinggakan pada saat-saat terakhir, apabila Mat Sah menandatangani surat pembebasan dari Kamunting, polis meluahkan sesuatu kepadanya...

"Hari terakhir, masa dia (polis) bahagi ni surat, dia harap lepas bebas ni, GMI bubarlah," kata Mat Sah sambil menunjukkan surat tersebut kepada wartawan, disampuk segera oleh isterinya, Norlaila Othman, "No way!"

Pada 17 April 2002, Mat Sah ditangkap di bawah ISA dengan alasan "mengancam keselamatan negara". Beliau kemudiannya dilemparkan label ahli Jemaah Islamiyyah dan Kumpulan Militan Malaysia (KMM), tanpa dibicarakan di mahkamah. Isterinya, Norlaila Othman (gambar kanan), bergiat aktif memperjuangkan pembebasan Mat Sah melalui Gabungan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Gerakan Mansuhkan ISA (GMI), mengecapi hasilnya pada 15 September 2009.

Dalam wawancara bersama MerdekaReview, Mat Sah menceritakan bagaimana SB kelihatan terdesak setelah demonstrasi tersebut. Beliau dibawa ke Police Remand Centre (PRC) di Kuala Lumpur, menjalani program "brainwash". Mat Sah dihujani pelbagai soalan, di samping propaganda mengapa ISA perlu dikekalkan.

"...Patutkah ISA dihapuskan, dia (SB) tanya. Saya jawablah, kata saya pun dah tujuh tahun (ditahan) dah, memang patutlah (dihapuskan)...", sambil gelak bersama wartawan, beliau sambung, "dah terlalu lama kan?"

"Memang awak layak bebas..."

"Memang awak layak bebas...," Ayat inilah yang dinanti-nantikan oleh Mat Sah sepanjang tujuh tahun ini. Ingatan Mat Sah masih segar, mengimbas pengalamannya setelah genap dua tahun pertama beliau ditahan.

"Mat Sah (gambar kiri), saya tak boleh bebaskan awak. Malaysia dah buat komitmen dengan ASEAN untuk combat (banteras) terrorism (aktiviti pengganas), lebih-lebih lagi Amerika Syarikat. Kalau kami bebaskan awak, apa kata mereka?"

Demikianlah alasan yang diberikan kepada Mat Sah dari Bukit Aman. Malah, tahanan ini perlu menjalani "ujian poligraf" untuk menguji sama ada dirinya berbohong kepada pihak berkuasa.

"Dua kali dia buat, tahun sudah ada, tahun ini pun ada. Dulu dia (polis) kata tak lulus, kali ini lulus pula. Tapi serupa saja, jawapan saya itu juga." Kemudian, Mat Sah menambah, "saya nampak dia memang nak bebaskanlah. Alasan (lulus ujian poligraf) untuk bebas itu saja."

Sebab dilanjutkan tahanan...

Seandainya itulah alasan Mat Sah dibebaskan, apa pula alasannya untuk dilanjutkan tempoh tahanan?

"Pertama, tak ikut peraturan; kedua, pasal isteri vocal..." ujarnya kepada wartawan, sambil melihat ke arah Norlaila. Malah, Mat Sah dijadikan "bad example" kepada tahanan lain, untuk menghalang keluarga tahanan lain daripada tampil memperjuangkan isu ISA.

Walaupun bukan secara terus-terang, tetapi Mat Sah dapat merasakan SB cuba menyampaikan mesej tersirat "isteri awak kena slow sikit" dalam perbualan bersamanya. Wartawan menyusul dengan soalan, pernahkah terlintas dalam otak Mat Sah, untuk menasihati isterinya agak "tidak terlalu ke depan"?

Dengan jujur Mat Sah mengakuinya, "Saya cuma cakap, SB cakap macam tu..." Sambil ketawa, wartawan membalas, "berlapik jugalah macam tu..."

Norlaila yang berada di sisi Mat Sah tidak sabar untuk melakonkan semula perbualan mereka ketika itu. Dengan lembut Norlaila berkata, "Kalau you tak bagi I pergi kempen, I tak datang kem-lah..."

Wartawan tertawa dengan gelagat pasangan suami isteri ini, walaupun menyedari di sebalik gelagat hari ini, tersarat dengan kepiluan yang lalu. Mat Sah kembali menceritakan pertimbangannya ketika itu. Beliau mengakui bahawa fikiran ini sekadar "terlintas" dalam otak, memandangkan Dr Abdullah Daud dari Johor turut dilanjutkan tempoh tahanan walaupun isterinya tidak berbuat apa-apa.

Patuh peraturan tidak jamin pembebasan

Walau bagaimanapun, Norlaila bukan bergiat aktif sebermulanya suaminya ditahan. Malah, Mat Sah mematuhi segala peraturan yang ditetapkan dalam kem dengan harapan agar beliau dapat dibebaskan selepas dua tahun.

Namun, segala-galanya berubah setelah dua tahun, apabila Mat Sah dapat perhatikan bahawa tahanan Al-Ma'unah yang "baik" (mematuhi segala peraturan) tetap ditahan, sebaliknya tahanan "reformasi" yang "jahat" (tidak bekerjasama dengan pihak kem) pula dibebaskan.

Bertitik tolak daripada itu, Mat Sah mula tidak bekerjasama dengan pihak kem, seperti enggan menyanyikan lagu Negaraku pada jam 7 pagi saban hari. Sementara itu, Norlaila mula bergiat di luar, melalui serahan memorandum kepada Suhakam, ceramah dan sebagainya untuk mendesak agar suaminya dibebaskan.

Hukuman akibat "ambush" Abdullah

Perjuangan Norlaila gagal membebaskan Mat Sah, sebaliknya mengakibatkan suaminya itu dihukum dengan penahanan secara berseorangan, selama tiga tahun.

Pada 23 Februari 2006, Norlaila yang menemui jalan buntu untuk berjumpa Abdullah Ahmad Badawi, memilih jalan untuk "ambush" Perdana Menteri itu dalam satu aktiviti yang dianjurkan Felda. Norlaila sempat menyerahkan memorandum kepada Abdullah Badawi, yang dibalas dengan ungkapan "Insya-Allah" daripada pemimpin itu.

Tindakan di luar dugaan ini mengundang hukuman penahanan bersendirian selama tiga tahun terhadap Mat Sah. Hukuman ini dilihat sebagai amaran kepada tahanan lain, supaya keluarga mereka tidak mengulangi apa yang dilakukan Norlaila... (Bahagian pertama, bersambung)

Sumber

Monday, October 12, 2009

Tahniah Kerajaan P.Pinang Atas Pendirian Anda



Billboard Anti ISA telah di pasang di Pulau Pinang.

Selangor,Kedah dan Kelantan bila lagi??

Wednesday, September 30, 2009

[Part 2/3]Testimoni Puan Norlaila yang dibuat sebelum Himpunan Mansuh ISA pada 1 Ogos yang lalu.




*Suami Puan Norlaila iaitu Mat Sah Satray telah pun dibebaskan dari kem Kamunting tapi masih dikenakan sekatan terhad.Ikuti testimoni Puan Norlaila ini iaitu bahagian kedua dari 3 bahagian.Nantikan bahagian terakhir, insya allah.

Tuesday, September 29, 2009

[Part 1/3]Testimoni Puan Norlaila yang dibuat sebelum Himpunan Mansuh ISA pada 1 Ogos yang lalu.



*Suami Puan Norlaila iaitu Mat Sah Satray telah pun dibebaskan dari kem Kamunting tapi masih dikenakan sekatan terhad.Ikuti testimoni Puan Norlaila ini iaitu bahagian pertama.Nantikan bahagian-bahagian lain, insya allah.

Monday, September 28, 2009

Dr Abdullah Daud : Bekas Tahanan ISA

Pada 17 September 2009, lebih kurang pukul 4.30 saya bersama sahabat-sahabat Pemuda PAS johor telah mengunjungi Dr Abdullah Daud yang baru dibebaskan daripada tahanan ISA pada hari Selasa yang lalu. Pertama kali bertemu dengan beliau pada petang tadi memberikan saya satu semangat baru dalam perjuangan apabila melihat beliau cukup tenang dan tabah dalam menghadapi ujian daripada Allah S.W.T.

Sebelum ini saya membayangkan bahawa Dr Abdullah seorang yang berbadan besar, bengis, ganas dan sukar untuk ketawa mahupun tersenyum namun ia terus meleset apabila saya melihat beliau keluar daripada pintu Masjid berdekatan rumah beliau selepas solat Asar.

Justeru saya terfikir, apakah ini dia orang yang cukup ditakuti oleh kerajaan yang memerintah negara ini. Apakah sukar untuk membicarakan orang seperti ini di mahkamah sekiranya dia benar-benar terlibat dengan gerakan yang akan menggugat keselamatan negara?.

Dr Abdullah dipisahkan daripada iseri dan anak-anak dengan penuh trajis dan kejam tanpa meninggalkan khabar berita melainkan ditakut-takutkan dan diugut oleh SB sepanjang masa. Dr Abdullah, seorang penyarah di Universiti Teknologi Malaysia, Skudai telah diberhentikan kerana kononnya teribat dengan JI. Kini, beliau bebas dan tidak ada apa-apa kesalahan yang dilakukan oleh beliau. Kerajaan Malaysia dan UTM jangan buat tidak nampak sahaja dengan apa yang berlaku.

Saya telah memberikan keyakinan kepada Dr Abdullah untuk bersama memperjuangkan hak beliau di UTM termasuk bantuan guaman.Mudah-mudahan Allah bersama dengan kita dalam menentang kerajaan yang zalim ini.

Catatan Khairul Faizi



Pengalaman Raja Petra Kamarudin Semasa Penahanannya Dibawah Akta I.S.A yang Pertama !!!





Saturday, September 26, 2009

GMI syor dialog antara ahli parlimen sebelum bentang pindaan ISA

DUNGUN, 23 Sept:Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) mencadangkan satu dialog bagi membincangkan mengenai Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) diadakan di antara ahli-ahli parlimen sebelum Persidangan Dewan Rakyat bermula pada 19 Oktober depan.

Pengerusinya, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, dengan adanya dialog berkenaan, ahli-ahli parlimen daripada pihak kerajaan dan Pakatan Rakyat berpeluang untuk berbincang secara khusus berhubung tindakan atau persediaan yang boleh dibuat sebelum hasil kajian semula akta berkenaan dibentangkan di Dewan Rakyat.

"Kita(GMI) minta dialog antara ahli-ahli parlimen diadakan seboleh-bolehnya sebelum persidangan bermula pada 19 Oktober ini."katanya ketika dihubungi Harakahdaily.

Baca lagi di sini


Monday, September 21, 2009

Salam 'Eidulfitri Dari Team Blog Bebaskan Tahanan ISA !!!

[SELAMAT_HARI_RAYA_AIDIFITRI_by_netcyber.jpg]


Kami,

..mengucapkan Salam Aidilfitri kepada semua pengunjung dan pelayar web kami dan web yang bersekutu dengan kami.Dikesempatan ini kami memohon maaf kepada semua atas kesalahan dan kesilapan.Mohon juga didoakan kami sentiasa istiqomah bersama GMI menghidupkan web ini sehingga akta Drakonian iaitu akta zalim I.S.A dimansuhkan.Selagi ada I.S.A, selagi itu kami berjuang untuk memansuhkannya.Ingatlah,akta I.S.A adalah indikator kepada penafian hak asasi manusia.Mari bersama kami memansuhkan ISA.Mari tunjukkan ketuanan kita.Ketuanan kita adalah "Ketuanan Rakyat".

Mari kita lupakan perbezaan antara kita.Mari bersatu atas maksud yang satu.Mari hapuskan rantai yang membelenggu rakyat malaysia dari bersuara.Mari tunjukkan bahawa kita adalah tuan.The enemy of my enemy is my friend.Mari bersatu hapuskan akta zalim ISA !!!!!
'Eid Mubarak Ikhlas Dari Kami.

Tuesday, September 15, 2009

Alhamdulillah. Suami Puan Laila Iaitu Mat Sah Satray Dibebaskan !!!!!

Suami aktivis Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) Norlaila Othman akan dibebaskan dari kem perlindungan Kamunting, Taiping petang ini.

Dalam pengumumannya di Putrajaya hari ini, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata kelima-limanya dibebaskan selepas kementerian mendapati mereka telah insaf.

Mat Sah Mohamad Satray bersama empat lagi tahanan Akta Keselematan Dalam Negeri (ISA) dituduh terlibat dengan gerakan pengganas Jemaah Islamiah (JI).

Mat Sah (foto), yang pernah bekerja dengan Dewan Bahasa dan Pustaka, ditahan pada April 2002 atas tuduhan terlibat dengan gerakan Islam itu.

Pembebasan itu dibuat bersempena sambutan Hari Raya Aidilfitri hujung minggu ini.

Turut dibebaskan, Dr Abdullah Daud, seorang pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai yang ditahan 3 Jan 2002.

Tiga lagi yang turut dibebaskan: Mohd Nasir Ismail, Mohd Kamil Mohd Hanafiah dan Mohd Amir Hanafiah.

Ketiga-tiganya, yang dituduh terlibat dalam jaringan JI, ditahan bawah akta itu pada 30 Mei 2007.

Hishammuddin menafikan pembebasan mengejut ini ada kaitan dengan pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang yang akan diadakan pada awal bulan depan.

sumber

Sunday, September 6, 2009

Rayuan Ramadhan Untuk Keluarga Tahanan ISA. Kawan-Kawan Menyumbanglah & Sebarkanlah Banner Ini !!!!!

Image Hosted by ImageShack.us

Maksudnya : Daripada Abu Hurairah r.a katanya Rasulullah saw bersabda : Setiap amal anak adam dilipatgandakan pahalanya. Satu macam kebaikan diberi pahala sepuluh kali ganda hingga tujuh ratus kali ganda. Allah Azza Wa jalla berfirman : selain puasa, kerana puasa itu untuk-Ku. Aku akan memberi pahala bagi orang yang berpuasa, kerana dia meninggalkan nafsu syahwat dan nafsu makannya kerana Ku. Dan bagi orang yang berpuasa ada dua macam kegembiraan: pertama ketika dia berbuka dan kedua ketika dia bertemu dengan Tuhannya. Sesungguhnya bau mulut orang yang berpuasa lebih harum disisi Allah daripada bau kasturi.
(H.R Muslim)

Wednesday, September 2, 2009

Forum sebelum rang pinda ISA dibentang sebelum Oktober ini !!!!!

Hazayani Zakaria

Wed | Sep 02, 09 | 8:22:08 pm MYT
KUALA LUMPUR, 2 Sept: Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) akan mengadakan satu forum terbuka bagi membincangkan sebab Akta Keselamatan Dalam Negeri(ISA) mesti dimansuhkan, bukannya dipinda.


Ia akan dibuat sebelum pindaan akta berkenaan dibentangkan untuk bacaan kali pertama pada persidangan Dewan Rakyat, Oktober ini.

Pengerusinya, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, forum yang dirancang itu akan membincangkan mengenai ISA dari semua perspektif merangkumi undang-undang, hak asasi manusia dan juga dari sudut agama.

"Kita akan buat satu forum terbuka dan panggil mereka yang pakar dalam undang-undang, agama dan hak asasi manusia di peringkat kebangsaan dan antarabangsa untuk bincangkan tentang ISA,"jelasnya ketika dihubungi Harakahdaily petang tadi.

Beliau bagaimanapun berkata, maklumat keseluruhan mengenai forum tersebut akan dimaklumkan kemudian.

"Kita telah tetapkan tarikh tapi saya rasa elok kita (GMI) maklumkan mengenai program itu bila kita dah putuskan siapa yang akan kita panggil,"Ujarnya.

ImageBeliau turut memberitahu, GMI setakat ini tidak bercadang untuk mengadakan satu lagi himpunan kerana himpunan Mansuh 1 Ogos lalu merupakan satu kejayaan besar dan berjaya memberikan tekanan kepada pihak kerajaan

"Setakat ni kita (GMI) tak ada cadangan untuk adakan satu lagi demo. Kita rasa dengan apa yang telah kita lakukan 1 Ogos lalu, sebenarnya satu kejayaan besar dan mereka (kerajaan) sebenarnya tertekan. Sekarang ni saya kira mungkin penjelasan-penjelasan perlu dibuat dalam bentuk risalah, forum dan sebagainya," kata Syed Ibrahim.

Beliau turut mempersoal kesungguhan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein dalam mendengar segala pandangan rakyat mengenai akta zalim itu.

GMI sehingga ke hari ini, ujarnya, belum dipanggil untuk memberikan pandangan dan berbincang dengan menteri yang bertanggungjawab mengenai akta ini sedangkan kerajaan sebelum ini berjanji untuk mengadakan perbincangan dengan pihak yang berjuang untuk memansuhkan ISA.

"Sehingga ke hari ini kita masih lagi tidak menerima apa-apa jemputan untuk memberikan input berkenaan dengan ISA sedangkan saya masih ingat menteri yang berkenaan berjanji akan menjemput atau memanggil pihak-pihak yang terlibat dalam memperjuangkan isu ini untuk bagi pandangan. Sejauhmana keihlasan mereka untuk benar-benar memahami suara rakyat berkenaan dengan akta yang sangat penting ini?"soalnya.

Beliau ketika diminta mengulas mengenai cadangan pindaan terhadap ISA oleh Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) pula menyifatkan mereka tidak memahami maksud kesejahteraan rakyat dan undang-undang.

Beliau mempertikai cadangan Perkasa agar akta ISA turut dikenakan terhadap individu yang mengamalkan rasuah sedangkan ada undang-undang lain yang boleh dikenakan.

"Apa yang dicadangkan tu khususnya berkenaan penggunaan akta ISA ke atas orang yang melakukan rasuah, sebenarnya ada undang-undang lain. Kenapa pula boleh cadang untuk guna ISA? Bagi saya mereka tidak jelas kenapa ISA itu zalim dan perlu dimansuhkan," katanya.

Sehubungan itu pihaknya sedang berbincang untuk menghantar satu memorandum kepada Perkasa bagi menjelaskan maksud kezaliman ISA.

sumber.

Monday, August 31, 2009

Billboard Anti ISA Di Setiap Negeri Bawah PR...!!!

Dari Perisik Rakyat

Bayangkan setiap kali anda memasuki negeri dibawah pemerintahan Pakatan Rakyat, anda disambut oleh sebuah Billboard besar yang memaparkan perkataan seperti dibawah ini...

Klik sini untuk imej besar...

Mesti hebat kan..? apa kata Pimpinan Kerajaan Zalim sekiranya cadangan ini diterima oleh setiap negeri dibawah Pakatan Rakyat..?

Zorro-Unmasked telah menyampaikan cadangan ini kepada Ketua Menteri Pulau Pinang pada Sidang Akhbar tersebut yang dihadiri oleh semua wartawan media perdana. sebaik zorro-unmasked melontarkan cadangan ini, semua kamera dan video kamera terus sahaja tertumpu pada kami berempat.

Itu baru sahaja respon pada cadangan, belum lagi apabila ianya direalisasikan. impaknya pasti akan bertambah besar. Kerajaan zalim pasti akan bertambah pening. ini yang kita mahukan.

Ketika mendengar cadangan ini, kami lihat Dato' Mansor (ADUN Penanti) memberikan respon yang amat baik, beberapa pimpinan yang ada juga nampaknya memberikan respon yang juga amat baik dan yang menariknya ialah apabila P. Ramasamy terus sahaja menjenguk zorro-unmasked dari celah-celah belasan wartawan yang mula memberikan perhatian pada kami dan kami dapat lihat air muka P.Ramasamy yang sedikit terkejut (mungkin tersentak dan tidak percaya apabila idea ini dilontarkan).

Lim Guan Eng juga ketika mendengar idea ini pantas sahaja berkata "give it to me the design and we'll go for it..!"

Kami percaya ini adalah cara yang terbaik untuk menyuarakan bantahan kita terhadap akta zalim ISA. kita akan menaikkan "Billboard-Billboard" Anti ISA bermula dari Pulau Pinang, seterusnya Kelantan (Insya-Allah) diikuti dengan lain-lain negeri dibawah Pakatan Rakyat.

Pada masa ini, zorro-unmasked telah mengemailkan design-design yang difikirkan menarik untuk dibuat sebagai billboard tersebut dan kita akan terus mengemaskini setiap perkembangan dari pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Semuanya terletak pada pimpinan Kerajaan Negeri-Negeri dibawah Pakatan Rakyat. kita akan terus mendesak Kerajaan pusat yang zalim supaya memanssuhkan terus ISA dari 1Malaysia sehingga ianya berjaya..!

Dibawah ini dipaparkan 2 lagi design yang juga telah dihantar kepada Lim Guan Eng untuk diperhalusi.
Klik sini untuk imej besar...

Klik sini untuk imej besar...

Monday, August 24, 2009

Pengalaman "NGERI" sebagai tahanan ISA !!!!!

Abdul Malek Hussin, bekas tahanan ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri), tidak akan dapat melupakan buat selama-lamanya peristiwa buruk yang telah berlaku ke atas dirinya sembilan tahun yang lalu.

Abdul Malek, 51, telah menang dalam samannya terhadap kerajaan kerana menangkap dan menyeksanya pada tahun 1998. Mahkamah juga menganugerahkan gantirugi RM2.5 juta kepadanya. Beliau memfailkan saman tersebut pada Mac 1999, terhadap anggota cawangan khas, Borhan Daud; Ketua Polis ketika itu, Tan Sri Abdul Rahim Noor dan kerajaan Malaysia.

Abdul Malek yang juga pengerusi badan pemantau Pilihanraya Bebas dan Adil Malaysia (Mafrel) ditahan di bawah ISA sembilan tahun yang lalu. Beliau menceritakan kepada Malaysiakini setiap saat pahit yang dilaluinya sewatku menjadi tahanan ISA.

Berikut adalah petikan temubual beliau dengan Malaysiakini:

Sudah sembilan tahun berlalu, bolehkah anda menceritakan apa yang berlaku, apakah yang telah mereka lakukan terhadap anda, dan perasaan anda ketika itu?

Apabila (bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim) dipecat oleh kerajaan kerana dituduh terbabit dalam aktiviti tidak bermoral, maka ramai rakyat yang tidak puashati dengan ketidakadilan (penangkapan Anwiar), dan sebagai seorang rakyat, saya menyokong pejuangan untuk menegakkan keadilan untuk Anwar. Saya adalah antara mereka yang tidak senang dengan cara kerajaan pimpinan Dr Mahathir mengguna dan menyalahgunakan kuasa ketika itu, untuk memecat Anwar dan saya mengambil keputusan untuk menunjukkan sokongan (kepada Anwar).

Saya terbabit dalam gerakan reformasi sejak hari pertamanya lagi pada 4 September 1998. Selepas penangkapan Anwar, saya telah mengambil inisiatif untuk menganjurkan satu perhimpunan besar-besaran untuk menuntut pembebasan Anwar dan peletakan jawatan Dr Mahathir dan Ketua Polis Negara ketika itu, Abdul Rahim Noor. Saya kemudiannya mengetuai perhimpunan di Masjid Negara pada 25 September, lima hari selepas Anwar ditangkap.

Saya ditangkap di rumah saya di Ampang pada kira-kira jam 10-11 malam. Saya pulang (ke rumah) dengan menaiki kereta yang dipandu oleh seorang rakan. Dia menurunkan saya kira-kira 200 meter dari rumah saya dan polis menangkap saya ketika saya berada di pintu pagar. Saya digari dan dipaksa membuka pintu pagar rumah saya oleh pasukan polis yang diketuai oleh ASP Borhan Daud.

Mula-mula dia memaksa saya membuka (pintu rumah) dan tentunya saya bertanya, "Mengapa saya digari?" dan dia berkata, saya ditahan di bawah ISA. Saya kemudiannya bertanya, "Mengapa anda perlu menggari tangan saya?" dan saya bertanya kepadanya "Apakah sebab saya ditahan", (dan dia berkata) "ISA" dan dia menjawab seperti robot, semuanya adalah (di bawah) ISA. Dia kemudiannya berkata, dia mahu menggeledah rumah saya, dan saya bertanya mana warannya. Malah, saya bertanya waran untuk menangkap saya di bawah ISA. Dia berkata, ianya tidak perlu dan saya bertanya kepadanya mengapa, dan dia berkata, ISA, dan dia berkata, saya sepatutnya tahu.

Dia mahu menggeledah rumah saya dan saya bertanya di mana warannya, dan sekali lagi, dia berkata, ianya tidak perlu dan saya bertanya kepadanya mengapa dan dia berkata ISA. Saya memanggil anak-anak saya dan keluarga saya membuka pintu dan anggota polis masuk dengan memakai kasut, terus ke tingkat bawah dan tingkat atas rumah saya. Mereka kemudiannya masuk ke bilik mentelaah saya, serta menggeledah dan memeriksa semua dokumen saya. Mereka kemudian masuk ke bilik tidur saya di mana isteri dan anak-anak saya sedang tidur. Isteri saya terkejut dan bertanya kepada saya apa yang berlaku dan saya menunjukkan kepadanya (tangan yang bergari) dan apabila dia bertanya mengapa, saya menjawab "ISA".


Kemudian, mereka merampas beberapa dokumen dan mereka juga merakamkan dokumen-dokumen tersebut. Selepas 40 minit berada di dalam rumah saya, mereka mengarah saya mengikut mereka. Mereka kemudiannya bertanya di mana kereta saya. Borhan memaksa saya menunjukkan kepadanya di mana kereta saya dan saya berkata, saya dihantar pulang oleh seorang rakan dan saya turun kira-kira 200 meter (dari rumah). Saya menunjukkan kepada Borhan tempat saya turun dari kereta. Rakan saya sudah beredar dari situ. (Borhan) naik marah dengan jawapan saya sehingga dia bertindak menampar saya di situ juga dan sakitnya dapat dirasai hingga ke hari ini. Saya rasa saya telah kehilangan lebih 40-50 peratus deria pendengaran di telinga kiri saya. Apabila mahkamah diberitahu mengenai perkara itu, Borhan menafikannya.

Selepas itu, dia memaksa saya masuk ke dalam kereta, bukan kereta polis, ia kereta biasa. Saya diarah memakai (kacamata) tertentu bervisi kelabu, tetapi kemudiannya saya menyedari bingkai di sini (sebelah kiri) telah patah dan saya memberitahu mereka yang ianya telah patah dan mereka mengarahkan saya (menanggalkan) kacamata saya dan salah seorang pegawai (membuka) baju-t hitam yang dipakainya dan menyerkupnya menutup kepala saya. Anda bayangkanlah bau baju t-shirt itu yang agaknya telah dipakainya sejak pagi hingga tengah malam. Ia amat busuk dan mereka memaksa saya masuk ke dalam kereta. Saya melutut dan diarah supaya tidak melihat ke mana-mana kerana mereka tidak mahu saya tahu ke mana mereka membawa saya.

Kemudiannya mereka membawa saya pergi dari situ dan kira-kira beberapa minit kemudiannya, kereta tersebut berhenti. Saya tidak tahu di mana. Mereka kemudiannya membawa saya naik anak tangga sebuah bangunan yang kemudiannya saya mendapat tahu (Ibupejabat Kontinjen Polis Kuala Lumpur). Mereka membawa saya ke sebuah bilik dan saya diarah menandatangani (sekeping) kertas yang disediakan oleh Borhan yang menyatakan bahawa saya ditahan di bawah ISA, jadi Borhan adalah pegawai yang melakukan tangkapan.

Selepas itu mereka mengarahkan saya menanggalkan pakaian - menanggalkan baju dan seluar saya. Saya ingat ok kerana saya tahu tahanan ISA akan diberi pakaian tahanan khas (iaitu) berwarna biru. Jadi saya ingat saya akan diberi pakaian tersebut. (Selepas) saya menanggalkan kesemua pakaian, tiba-tiba seorang pegawai menggari tangan saya dari belakang dengan kuat sekali, dan di situ terdapat enam hingga lapan orang pegawai di depan saya dalam sebuah bilik kecil di tingkat satu. Saya digari dan mereka menutup mata saya dengan dua (keping) kain hitam dan saya bingung sepenuhnya. Saya tidak tahu siapakah mereka, jadi saya mengagak mereka semua adalah pegawai yang melakukan tangkapan yang diketuai oleh Borhan.

Kemudian Borhan menendang dan menumbuk saya dan saya boleh dengar suaranya betul-betul di depan saya kerana dia yang menangkap saya dan saya boleh kenal suaranya. Seorang pegawai akan mengambil satu objek keras dan memukul kaki kanan saya, seorang pegawai lagi akan memukul kaki kiri saya dan mereka kemudiannya menumbuk muka saya. Saya kemudiannya kena 'flying kick', 'side kick' dan mereka kemudiannya memaksa saya berdiri.

Sejurus kemudian saya terjatuh dan tidak sedarkan diri untuk pertama kali dan mereka menuangkan air dan memaksa saya berdiri lagi dan saya jatuh pengsan sekali lagi - semuanya sebanyak lima kali. Dan saya juga mengira dengan jari saya berapa kali saya dipukul [...] semuanya 63 kali. Selepas itu saya tidak tahan lagi dan tidak sedarkan diri. Itulah yang dapat saya ingat ketika masih sedar...

Salah satu pukulan itu amat kuat sekali dan tiba-tiba kain yang menutup mata saya terjatuh dan betul-betul di depan saya adalah (Abdul) Rahim Noor yang memakai sarung (tinju) berwarna merah. Dia memakai (baju) batik Indonesia, berseluar hitam dan kasut berkilat warna perang. Saya masih ingat dan saya menceritakannya secara terperinci di mahkamah. Dan kerana (kain penutup mata) terjatuh, saya terkejut dan dia juga terkejut kerana saya dapat mengenalinya dan dia terus beredar, begitu juga dengan semua pegawai lain yang turut beredar dari situ kerana tidak mahu mereka dikenali. Kemudian mereka pusing saya menghala ke dinding dan sekali lagi menutup mata dan saya terus dibelasah hingga tidak sedarkan diri.

Apabila saya sedar semula, waktunya masih belum jam 4 pagi. Mereka mengarah saya pergi ke bilik lain yang hawa dingin dibuka dengan kuat. Saya masih bertelanjang dan badan saya sakit akibat dipukul. Penghawa dingin itu terletak di tengah-tengah bilik dan setiap beberapa minit mereka mencurah air sejuk ke kepala saya. Dalam keadaan anda telah diseksa dan cedera, dicurahkan pula dengan air sejuk dan saya menggeletar kesejukan. Mereka bertanya sama ada saya sejuk dan saya menjawab iya dan mereka akan mencurah lebih banyak lagi air sehingga kira-kira jam 4.30 pagi. Mereka kemudian berhenti dan tidak lagi bertanya sebarang soalan.

Semasa diseksa mereka, Borhan bertanya kepada saya sama ada saya dahaga dan saya menjawab "tentulah dahaga". Kemudian secara tiba-tiba seseorang memegang saya dari belakang dan seorang lagi menggunakan jarinya untuk membuka mulut saya seluas-luasnya. Mereka kemudiannya menuang cecair yang rasanya hanyir dan kotor, ke dalam mulut saya. Ia adalah air kencing dan mereka memberitahu saya ia adalah air kencing. Air kencing mereka, bukan air kencing saya. Mereka bergilir-gilir kencing dan secara paksa menuang kira-kira dua tin air kencing mereka.

Bila mereka bertanya sama ada saya lapar atau tidak, saya jawab "Tentulah saya lapar". Borhan meminta pegawainya menyediakan tahi anjing untuk saya. Ia dekat dengan mulut saya, saya dapat menghidu baunya. Dan dia mengugut saya yang dia akan menggunakan penyuntik yang mengandungi virus HIV dan menyuntiknya ke badan saya kerana saya telah berkata kepadanya "Lebih baik awak bunuh saya. Apa gunanya? Apa yang awak cuba buktikan? Apa yang awak buat di sini? Mengapa awak begitu kejam," saya bertanya kepada mereka

(Dia berkata) "Oh awak mahu mati, oh jadi kita akan bunuh awak secara perlahan-lahan, kita akan masukkan virus HIV ke badan awak". Tentulah mereka tidak melakukannya.

Dan kemudiannya selepas kira-kira jam 5 pagi, mereka berhenti membelasah saya. Saya rasa mereka juga keletihan dan pulang ke rumah.

Pada 26 September, pada waktu tengahari, saya dibawa ke Bukit Aman dan dimasukkan ke tempat kurungan dan hanya dapat melihat matahari pada hari ke-28 penahanan saya. Maka, jika anda bertanyakan perasaan saya mengenainya, (ia) sangat kejam dan tidak berperi kemanusiaan. (Polis) bukan manusia. Saya rasa binatang ada rasa belas kasihan. Malah anjing pun kenal tuannya dan tidak menggigit orang lain. Mereka lebih terusk daripada anjing. Jika orang kata mereka adalah anjing kerajaan, saya rasa pada m masa itu, mereka lebih teruk daripada anjing.

Bagaimanakah anda dilayan di sana (di Bukit Aman)?

Saya tidak dibenarkan menghubungi sesiapa. Beberapa hari kemudiannya sebelum hari ke-28 (dalam tahanan) , mereka bertanya sama ada saya mahu berjumpa dengan keluarga saya. Sudah tentulah, sebelum berjumpa dengan keluarga, mereka akan mengatur satu sesi khas supaya saya tidak menceritakan apa-apa tentang apa yang terjadi pada diri saya, supaya tidak membayangkan yang saya telah diseksa dan supaya menunjukkan kepada keluarga saya yang semuanya ok dan supaya meyakinkan keluarga saya supaya (tidak memfailkan) permohonan habeas corpus atau saya tidak akan dibebaskan.

Dan saya memberitahu pegawai penyiasat saya di Bukit Aman bahawa saya telah diseksa di IPK dan saya mahu membuat laporan polis terhadap Borhan, mereka berkata, "Tidak, kamu tidak perlu berbuat demikian - kami telah mengambil tindakan terhadap Borhan". Sedangkan ianya tidak benar. Saya tidak diberi peluang untuk membuat laporan, tidak diberi peluang untuk bertemu peguam saya, tidak dapat hubungi keluarga dan saya hanya diberi rawatan perubatan beberapa hari kemudiannya di Bukit Aman.

Saya memberitahu doktor dan beliau memeriksa saya dan ia disahkan dalam laporan perubatan mengenai lebam-lebam di kaki kiri, kaki kanan, di bahagian perut dan terdapat kecederaan. Saya mengadu kepada Dr Vasantha Ponniah mengenai apa yang berlaku terhadap diri saya dan beliau telah memberi keterangan di mahkamah mengenai keadaan saya berdasarkan kepada kecederaan pada diri saya.

Metodologi cawangan khas ialah memberi layanan paling keras pada hari pertama sebagai satu ingatan kepada tahanan bahawa mereka akan berdepan dengan keadaan yang lebih teruk lagi sekiranya gagal memberi kerjasama. Ia lebih berbentuk psikologi. Dan sudah tentulah di Bukit Aman, ia telahpun diinstitusi dari segi bagaimana mereka mengendalikan tahanan. Saya dimasukkan ke dalam bilik kurungan seorang diri, tiada cahaya matahari, saya tidak tahu sama ada ianya pagi, saya tidak tahu langsung. Pada hari ke-28, ketika dikunjungi keluarga semasa saya dibawa dari Bukit Aman ke IPM, saya begitu menghargai cahaya matahari, ianya amat indah sekali. Cukup indah.

Bagaimanakan anda disoalsiasat?

Saya disoalsiasat selama 17 hari di tingkat tiga bangunan tersebut. Mereka bertanya soalan dari pagi, tengahari, petang, sehingga malam, dan kadang-kadang hingga lewat malam. Pada satu ketika apabila mereka tidak puas hati dengan apa yang berlaku di luar di mana orang ramai masih berkumpul di Jalan Tuanku Abdul Rahman (dan) di Kampung Baru, mereka tidak senang lalu, memanggil saya lewat malam untuk disoalsiasat hingga awal pagi.

Sewaktu disoalsiasat oleh pegawai Bukit Aman, soalan-soalan yang mereka tanya setiap hari, soalan mengenai gerakan reformasi, mengenai Anwar Ibrahim, hubungannya dengan orang ini dan orang itu. Kemudian Nurul Izzah menemui (Presiden Filipina ketika itu, Joseph) Estrada di Filipina dan (bekas Setiausaha Negara Amerika) Madeline Albright. Saya berada di dalam dan semua itu berlaku di luar sana, dan mereka bertanya mengenai Gerak yang ditubuhkan, dan mengenai pembaharuan politik, mengenai PAS, mengenai sama ada ISA patut dimansuhkan atau tidak.

Saya rasa tidak perlu anda menangkap saya di bawah ISA untuk bertanya soalan-soalan tersebut.

Mereka menafikan saya peralatan yang ada sekiranya mereka dapati saya tidak bekerjasama sepenuhnya. (Mereka akan) mengambil balik tilam atau bantal. Selepas dikunjungi keluarga, mereka bagi tahu saya yang saya hanya akan ditahan selama sebulan dan mereka akan membebaskan saya. (Mereka kata) jika saya tidak diberi perakuan untuk dibebaskan, maka mereka akan melanjutkan tahanan dan ianya berterusan sehingga hari ke-57.

Ada juga hari-hari di mana mereka tidak berbuat apa-apa. Mereka akan menghantar makanan dan pada masa itu, saya mendapat makanan, ia seperti nasi bungkus bersama ikan yang berulat. Itu bermakna, ianya dilakukan dengan sengaja. Maksud saya kami adalah tahanan dan makanan ini sepatutnya disediakan oleh kerajaan dan ini bermakna negara menyediakan makanan busuk kepada saya.


Apa yang berlaku selepas anda dibebaskan?

Saya dibebaskan pada 21 November dan tertakluk kepada pengawasan cawangan khas yang memantau aktiviti-aktiviti saya. Saya perlu melaporkan kepada mereka dan malah mereka mengugut bahawa saya boleh ditangkap semula, saya mesti bekerjasama dengan mereka dan psikologinya ialah mereka mempunyai kuasa untuk menangkap saya semula. Jadi, wujud rasa takut yang saya akan ditangkap semula. Saya mengambil masa yang lama untuk mengembalikan kekuatan dan keberanian untuk membuat laporan polis dan saya membuat keputusan tersebut pada bulan Mac (1999).

Apa yang mempengaruhi saya adalah apabila kerajaan mengambil keputusan untuk menubuhkan Suruhanjaya Diraja (untuk menyiasat kes mata lebam Anwar) apabila kita membaca mengenai testimoni oleh Dr Vasantha Ponniah. Kemudian saya teringat, "Baiklah, itulah wanita yang merawat saya". Jadi, saya ingat adalah sedikit bantuan. Saya ingat dengan penubuhan Suruhanjaya Diraja itu, akan wujud ruang untuk membuat aduan.

Sejak dari itu, semasa saya disoalbalas di mahkamah, mereka bertanya kepada saya mengapa saya mengambil masa yang begitu lama. Ini bukanlah satu kemalangan jalanraya. Ini adalah sesuatu di mana anda telah diseksa. Anda perlu untuk membina semula keberanian.


Adakah anda takut? Adakah anda pernah berasa seperti telah putus asa?

Saya cuba supaya tidak kelihatan takut walaupun (sebenarnya) saya amat takut sekali. Saya rasa (anggota) cawangan khas berada di mana-mana sahaja. (Saya rasa) terancam tetapi untuk pulih semula, anda perlu berjumpa dengan orang, anda perlu bercakap dengan orang. Lama kelamaan, saya mula menceritakan kepada orang apa yang berlaku ketika dalam tahanan.

Mereka amat terkejut. Kemudian rakan-rakan telah meyakinkan saya untuk bercakap mengenainya dan pada bulan Februari saya menceritakan pengalaman tersebut dalam satu majlis anjuran Gerak (Gerakan Rakyat Malaysia untuk Keadilan) oleh (bekas Presiden PAS) Datuk Fadzil Noor di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor pada Februari 1999. Saya memperolehi semula keberanian saya. Dan anda perlu faham bahawa anda boleh dituduh membuat laporan palsu. Saya terpaksa menyediakan laporan polis yang panjang dan begitu terperinci serta satu afidavit untuk memfail saman sivil.

Bagaimanapun perasaan keluarga anda mengenai semua itu?

Mereka sudah biasa yang apa saya lakukan. Mereka menyokong aktiviti-aktiviti saya. Malah, isteri dan anak-anak saya sudah tahu mengenai keazaman saya untuk melaporkan aktiviti-aktiviti demi hak rakyat, aktiviti politik dan aktiviti sosial

credit malaysiakini

Tuesday, August 18, 2009

Malek dapat RM2.5 juta sbb salah tahan ISA !!!!!


Abd. Malek Hussin.


KUALA LUMPUR 18 Okt. – Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Abd. Malek Hussin dibayar ganti rugi sebanyak RM2.5 juta ekoran penderaan serta penahanan secara salah selama 57 hari kira-kira sembilan tahun lalu.

Keputusan tersebut menjadikan bekas Setiausaha Eksekutif Pas itu sebagai bekas tahanan ISA pertama yang berjaya menang dalam samannya terhadap polis dan kerajaan.

Hakim Datuk Mohd. Hishamudin Mohd. Yunus memerintahkan kerajaan membayar RM1 juta kepada Abd. Malek bagi ganti rugi am kerana penahanan secara salah, RM500,000 bagi ganti rugi am kecederaan dan perubatan serta RM1 juta untuk ganti rugi teladan.

Ketika membacakan penghakiman setebal 41 muka surat itu, Hishamudin berkata, plaintif tidak pernah dimaklumkan dengan jelas tentang alasan penahanan sebagaimana yang dikehendaki di bawah Artikel 5(3) Perlembagaan Persekutuan.

Menurut beliau, defendan pertama iaitu Asisten Supritendan (ASP) Borhan Daud juga gagal mengemukakan bukti tentang aktiviti plaintif yang dijadikan alasan penahanan sebagaimana yang dikehendaki di bawah Seksyen 73(1) ISA 1960.

“Dakwaan defendan bahawa plaintif terlibat secara langsung dalam perhimpunan-perhimpunan haram yang diakhiri dengan kacau-bilau hanya dakwaan kosong tanpa bukti material.

‘‘Cara soal siasat (yang dibuat) jelas untuk tujuan politik dan tidak ada kena mengena dengan soal keselamatan negara. Dengan kata lain, penahanan Abd. Malek sejak dari awal adalah mala fide (dengan niat jahat),’’ katanya.

Abd. Malek, 51, ditahan di bawah ISA pada malam 25 September 1998 selepas menghadiri satu demonstrasi di Masjid Negara pada tengah hari sebelumnya.

Beliau yang kini merupakan Pengerusi Malaysians for Free and Fair Elections (MAFREL) ditahan selama 57 hari sebelum dibebaskan pada 21 November 1998.

Pada Mac 1999, Abd. Malek memfailkan saman untuk menuntut ganti rugi RM30 juta dengan menamakan ASP Borhan dari Cawangan Khas sebagai defendan pertama, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor serta kerajaan Malaysia sebagai defendan kedua dan ketiga.

Dalam saman itu, beliau mendakwa telah ditumbuk dan disepak termasuk oleh Abdul Rahim sehingga tidak sedarkan diri semasa dalam tahanan selain dipaksa minum air kencing serta didera secara seksual di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL).

Berhubung dakwaan Abd. Malek didera semasa di dalam tahanan, kata Hishamudin, plaintif langsung tidak gentar semasa di kandang saksi dan memberi keterangan secara konsisten sebagaimana laporan polis dan dokumen lampiran.

Katanya, keterangan itu disokong laporan pemeriksaan perubatan oleh Dr. P. Vasantha bahawa plaintif mengalami kecederaan seperti lebam dan bengkak di beberapa bahagian badan seperti pergelangan tangan, betis, paha dan kaki.

Hakim itu turut memberi enam lagi alasan penghakiman termasuk kegagalan polis untuk memasukkan plaintif ke dalam lokap dari pukul 1.30 pagi sebelum dihantar ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada kira-kira pukul 4 pagi.

Keterangan

Hishamudin berkata, keterangan mengenai kehadiran Abdul Rahim di IPKKL antara pukul 12 malam dan 3 pagi untuk bermesyuarat tanpa kehadiran Ketua Polis Kuala Lumpur tidak dapat diterimanya.

Dalam penghakimannya, hakim itu turut mempersoalkan tindakan pejabat Timbalan Pendakwa Raya yang mengambil masa sembilan bulan untuk menolak laporan polis yang dibuat oleh plaintif tentang penderaan yang dialaminya selain plaintif tidak didakwa kerana membuat aduan palsu.

“Percanggahan keterangan defendan pertama dan saksi-saksi lain serta kegagalan meletakkan plaintif di dalam lokap membuktikan kemungkinan plaintif telah didera.

‘‘Saya kesal untuk menegaskan bahawa saya juga membuat kesimpulan penyiasatan yang dijalankan oleh Senior Asisten Komisioner Hadi Ho berhubung laporan polis oleh plaintif tidak ada apa-apa melainkan mere sham (penipuan semata-mata),’’ katanya.

Semasa membacakan keputusan berhubung ganti rugi teladan, Hishamudin turut membuat kenyataan tegas berhubung tindakan Abdul Rahim dalam mengendalikan kes Abd. Malek.

‘‘Kelakuan keji oleh bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor amat memalukan dan mengaibkan. Beliau telah menunjukkan contoh yang buruk kepada ribuan anggota dan pegawai di bawahnya.

‘‘Ganti rugi teladan penting untuk menunjukkan kebencian mahkamah yang amat sangat terhadap penyalahgunaan kuasa oleh polis dan penyalahgunaan ISA,’’ tegas beliau.

Abd. Malek diwakili peguam R. Sivarasa dan M. Moganambal manakala semua defendan diwakili oleh Peguam Kanan Persekutuan, Iznan Ishak.

Abd. Malek semasa ditemui di luar mahkamah melahirkan rasa gembira dengan keputusan mahkamah hari ini.

Katanya, mahkamah akhirnya telah menghukum kerajaan atas penyalahgunaan kuasa yang dilakukan oleh pihak polis.

‘‘Ini bukan soal wang tetapi soal maruah atas penderitaan dan penderaan yang saya dialami semasa dalam tahanan.

‘‘Sudah tiba masanya untuk kerajaan menyemak dan memansuhkan ISA,’’ tambahnya.

Kata Abd. Malek, penghakiman itu bukan sekadar mengenai ganti rugi, tetapi juga membawa pegawai polis yang terlibat ke muka pengadilan sebagai pengajaran.


sumber

Friday, August 14, 2009

Kami tetap dianiaya - Norlaila Othman

Selasa 11 Ogos 2009

Ramadhan bakal menjelang beberapa hari lagi. Kebetulan hari ini aku tiada sebarang temujanji atau program di luar kawasan, lalu mengambil peluang ini untuk mengemas rumah supaya aku merasa lebih tenang ketika menjalani ibadah puasa di bulan Ramadhan nanti.

Selain mengemas rumah, aku juga sedang merancang untuk menziarahi Abah Suhaib yang masih dikurung tanpa bicara, di Kem Kamunting. Abah Suhaib (Mat Sah) terlalu rindu pada Suhaib kerana hampir dua bulan kami tidak menziarahi beliau di Kem.

Suhaib sibuk dengan pelbagai aktiviti sekolah dan aku pula selalu keluar daerah kerana membantu mobilisasi Himpunan Mansuhkan ISA yang masih lagi diperkatakan oleh ramai orang. Berita aku dan Suhaib ditahan serta disimpan dalam lokap polis ketika perhimpunan aman Mansuhkan ISA pada 1 Ogos lepas, menambah keinginan Abah untuk bertemu dengan kami.

Tiba-tiba sms di telefon bimbit berbunyi, "Kak, abang Mat Sah ada di PRC sekarang...," kata si pengirim iaitu seorang bekas tahanan ISA yang telah dibebaskan dua tahun lepas. Aku merenung sms itu dan berfikir seketika.

Aku merancang untuk pergi ke Kem pada hari Jumaat 14 Ogos. Nasib baik ada orang beritahu Abah berada di Police Remand Center (PRC) di Kuala Lumpur. Jika kami terus saja ke Kem pada hari Jumaat, mungkin kami tidak dapat berjumpa beliau....Walau apa pun, aku mesti mendapat kepastian daripada pihak Kemta sendiri bahawa Abah Suhaib benar-benar berada di Kuala Lumpur...

Warden Kem sahkan Mat Sah di Kuala Lumpur.

Rabu 12 ogos 2009

Aku menghubungi Kemta. Dialognya adalah seperti di bawah.

Aku: Boleh sambungkan saya ke pejabat rekod tahanan?

Warden: Apa yang boleh saya bantu puan?

Aku: Saya ingin menziarahi Mat Sah. Beliau ada di kem atau tidak?

Warden: Puan, Mat Sah di PRC, Kuala Lumpur. Dia dibawa ke sana sejak Ahad lepas. Dia akan berada di K.L sampai Ahad akan datang.

(Aku mencongak. Ahad lepas 9 Ogos, Ahad depan 16 Ogos)

Aku: Bagaimana saya boleh hubungi dia?

Warden: Puan cubalah telefon PRC, Bukit Aman dan minta jumpa di sana (KL).

Aku: Boleh bagi no telefon PRC?

Warden: Maaf puan, kami tak ada nombor PRC Bukit Aman.

Aku: Macam mana saya nak hubungi suami kalau awak tak beri nombor telefon Bukit Aman?

Warden: Maaf puan. Itu saya tak tahu.

Aku memang rasa marah dengan jawapan warden Kemta. Tetapi aku menyedari, "polisi kerja warden kemta" sememangnya begitu. Kalau dikatakan mereka itu bodoh bagai lembu dicucuk hidung, nanti mereka marah. Tetapi memang begitulah cara mereka berurusan dengan mangsa ISA seperti aku, amat jelas memperlihatkan bahawa mereka yang bertugas sebagai warden Kemta, adalah petugas kerajaan yang tidak bertanggungjawab langsung!

Akhirnya aku teringat nombor telefon seorang Polis Cawangan Khas (SB) yang masih aku simpan di telefon bimbit. Aku hubungi SB yang bernama "S" itu. Inilah dialognya.

Aku: "S", Mat Sah ada di PRC ke?

SB "S": Ye kak. Dia dibawa ke sini sejak Ahad lepas dan akan dihantar semula ke Taiping pada hari Sabtu ni.

Aku: Boleh tak kami nak jumpa dia di PRC?

SB "S": Maaf kak, tak boleh. Program di sini padat sangat. Kalau nak jumpa dia, akak pergilah ke Taiping hari Ahad atau minggu depan.

Aku: Tak kanlah nak jumpa kejap pun tak boleh?

SB "S": Maaf kak. Tak sempat untuk pertemuan keluarga. Akak jumpa di Kemta (Kamunting) saja nanti.

Sekali lagi aku rasa amat-amat dianiaya oleh polis, tak kira samada yang beruniform atau yang berpakaian biasa. Semua jawapan berselindungkan kata-kata "Kami hanya menurut perintah". Malang. Memang amat malang pada sesiapa saja yang dipilih untuk di labelkan dan dijadikan mangsa ISA.

Tahanan ISA 7 tahun:
"Alat mainan" KDN dan Menteri

Tahanan ISA 7 tahun boleh dipindahkan ke mana sahaja tanpa perlu memberitahu ahli keluarga mereka. Polis bebas memperlakukan apa saja yang tergerak di hati mereka terhadap tahanan tersebut.

Inilah hakikat nasib tahanan ISA 7 tahun. Mereka diperlakukan lebih teruk dari banduan yang telah terbukti kesalahan mereka, dan dijatuhi hukuman oleh hakim di mahkamah. Mereka tiada nilai sebagai manusia. Mereka seolah-olah suratkhabar lama yang boleh diangkut dari satu tempat ketempat lain, pada bila-bila masa saja mengikut selera KDN. Mereka boleh dicampak, dipijak dan ditenyeh mengikut suka Menteri Dalam Negeri.

Mereka akan bernilai pada KDN untuk dijadikan bahan cercaan dan fitnah jika berlaku sesuatu rusuhan awam atau letupan di negara lain. Mereka juga bernilai jika ada seorang menteri yang baru dilantik menjadi Menteri Dalam Negeri atau jadi PM!

Sesi pemulihan = perbicaraan di mahkamah?

Entah berapa puluh kali Mat Sah telah dibawa ke PRC untuk sesi "brain wash" yang kononnya diadakan untuk memulihkan perangai tahanan...Ini bukanlah kali pertama Mat Sah dilarikan dari Kem Kamunting untuk sesi siasatan atau "brain wash” atau pemulihan.

Beliau dituduh sebagai Ahli Jemaah Islamiyyah (JI) yang didakwa mengancam keselamatan negara tetapi tidak pernah dibicarakan di mahkamah terbuka. Tuduhan yang begitu berat dilemparkan oleh Menteri Dalam Negeri, hanya perlu pada pemulihan saja? Aneh bukan?

KDN dibantu oleh beberapa institusi kerajaan seperti JAKIM, ILIM bersusah payah mengadakan sesi pemulihan itu kepada tahanan ISA seperti Mat Sah? Kenapa KDN sanggup bersusah payah mengambil masa tujuh tahun lebih untuk memaksa Mat Sah mengaku sesuatu perkara yang dia tidak lakukan? Bagaimana institusi agama seperti JAKIM dan ILIM boleh bersekongkol dengan KDN menghidupkan akta tahan tanpa bicara ini?

Bukankah ada jalan yang lebih mudah untuk menyelesaikan masalah ini? Kenapa tidak bicarakan saja dia di mahkamah? Bukankah polis dan KDN sering berkata "mereka punya bukti lengkap" untuk terus menahan mangsa ISA itu?

Penguasa ISA sengaja menyusahkan Suhaib

Anak saya Suhaib (gambar kanan) terlalu ingin bertemu dengan bapanya. Beliau berada di PRC, Kuala Lumpur yang jaraknya cuma 15 minit memandu dari rumah kami di taman Keramat. Suhaib hanya perlukan satu jam untuk bersama bapanya, adakah permintaan itu terlalu berat untuk ditunaikan?

Kenapa aku dan Suhaib terpaksa menunggu bapanya habis sesi "brain wash" itu, menunggu beliau dipulangkan ke Kemta, Kamunting dan hanya dibenarkan melawatnya di sana? Bukankah ini satu lagi diskriminasi terhadap aku dan Suhaib?

*Norlaila Othman ialah Pengerusi Pusat Sokongan Keluarga Gerakan Mansuh ISA (GMI), isteri kepada Mat Sah Satray, tahanan ISA sejak tahun 2002.

Lagi Kisah Benar Pada 1 OGOS Lalu - Risalah Merah ? Tangkappp!!!!!

oleh: Puspawati Rosman

Sebagai Ketua Projek Jawatankuasa Kesedaran Undang-undang Pusat Bantuan Guaman (PBG) Kuala Lumpur, saya bertanggungjawab mengetuai mana-mana projek, program serta aktiviti kesedaran undang-undang yang dianjurkan oleh PBG Kuala Lumpur di bawah Jawatankuasa Kesedaran Undang-undang. Antaranya adalah penghasilan dan pengedaran risalah-risalah yang mengandungi maklumat dan pendidikan untuk orang ramai supaya mereka sedar akan hak mereka dari segi undang-undang.

Risalah-risalah berwarna-warni yang banyak itu disusun dengan kemas di sebuah rak di depan pintu masuk pejabat PBG di tingkat 9 Wisma Kraftangan, bersebelahan Masjid Jamek. Adakalanya, kami (peguam-peguam sukarela PBG) akan mengedarkan risalah-risalah tersebut apabila kami menghadiri program-program luar seperti di sekolah, kolej, pasar malam, bahkan di tepi jalan pun akan kami edarkan apabila ada kesempatan.

Ditahan kerana mengedar risalah

Tidak pernah terlintas dalam fikiran saya, bahawa suatu hari nanti saya akan ditahan dan digari di hadapan orang ramai kerana mengedarkan risalah-risalah PBG tersebut.

Semata-mata kerana ia berwarna merah.

Dan, semata-mata kerana ia diedarkan pada 1 Ogos 2009.

Pada hari bersejarah rakyat Malaysia itu, kami, peguam-peguam sukarela sudah berada di pejabat PBG seawal pukul tujuh pagi. Kami datang awal sebagai persediaan, kerana berdasarkan amaran yang diberikan oleh polis dan pihak berkuasa beberapa hari sebelum itu, kami sudah menjangka bahawa akan ramai orang ditangkap pada hari itu kerana menyertai atau cuba untuk menyertai perhimpunan besar-besaran Mansuhkan ISA.

Tekaan kami tepat, pada kira-kira pukul 10 pagi, kami mula menerima panggilan-panggilan daripada orang ramai, memaklumkan kepada kami bahawa operasi tangkapan sudah bermula di sekitar Kuala Lumpur.

Pada waktu itu, kami mula memaklumkan kepada peguam-peguam sukarela yang sudah bersedia di sekitar Kuala Lumpur untuk pergi ke balai-balai polis yang berkenaan. Di samping itu, beberapa orang daripada kami telah diminta bersedia di pejabat PBG untuk memberikan nasihat guaman melalui telefon kepada orang-orang yang ditangkap dan berjaya menghubungi kami, termasuk saya.

Walau bagaimanapun, selepas satu jam, kami mula gelisah kerana di bawah pejabat kami, orang ramai sudah mula ditangkap secara rawak oleh berpuluh-puluh polis yang menjadikan Masjid Jamek sebagai 'stesen' mereka dengan kehadiran beberapa buah 'black maria' dan trak kecil polis. Justeru itu, kami mengambil keputusan untuk terus mengedarkan risalah 'Polis dan Hak Anda' kepada orang ramai secara langsung, supaya sekiranya mereka gagal mendapatkan akses kepada peguam apabila ditangkap, sekurang-kurangnya mereka akan tahu apa yang harus dilakukan.

Buku dirasmikan menteri

Risalah "Polis dan Hak Anda" itu sebenarnya adalah "Buku Merah" versi risalah yang dikeluarkan oleh Majlis Peguam. Tiga tahun yang lalu, Majlis Peguam telah menerbitkan sebuah "Buku Merah" yang mengandungi hak-hak dan langkah-langkah yang boleh diambil oleh seseorang sekiranya ditangkap oleh polis. Ironinya, majlis pelancaran "Buku Merah" itu dirasmikan oleh Menteri Jabatan Perdana Menteri, Mohd. Nazri Aziz. Disebabkan kekurangan dana untuk mengulang-cetak 'Buku Merah' tersebut, Majlis Peguam telah meringkaskan isi kandungannya dan menerbitkannya dalam bentuk risalah kerana ia lebih murah. Disebabkan itu, risalah itu berwarna merah.

Ketika saya mengedarkan risalah di hadapan bangunan HSBC di Jalan Melayu, tiba-tiba datang beberapa orang polis meluru ke arah saya dan tanpa memberi salam, salah seorang anggota polis itu bertanya apa yang saya sedang lakukan. Saya cuba memberikan penjelasan kepada mereka sambil menunjukkan tag 'Peguam' yang saya pakai. Akan tetapi, nampaknya mereka tidak berpuas hati dengan penjelasan saya dan meminta saya mengikut mereka berjumpa pegawai di balai polis. Saya enggan.

Cuba malukan saya

Seseorang yang ditahan oleh polis tidak mempunyai kewajipan untuk mengikut polis itu ke mana-mana sekiranya beliau tidak ditangkap. Maka itulah yang saya lakukan. Setelah melihat keengganan saya, polis-polis tersebut mula berkasar dan mengugut untuk menangkap saya. Maka saya pun bertanya soalan wajib "Kalau nak tangkap, tangkaplah, tapi sekarang adakah saya ditahan?"

Polis-polis di keliling saya tidak menjawab. Pada waktu itu, saya yakin bahawa mereka sendiri sebenarnya tidak tahu apa yang sepatutnya mereka lakukan.

Tiba-tiba, datang seorang polis pertengahan umur yang terus memekik "Tangkap dia! Gari!" Yang paling menyakitkan hati, mereka sempat memalukan saya dengan menyuruh beberapa orang polis berpakaian biasa mengambil gambar saya yang telah digari.

Saya dibawa masuk ke sebuah trak yang diletakkan di hadapan Masjid Jamek. Sepanjang perjalanan ke trak tersebut, saya tidak diberi sebab tangkapan oleh polis-polis tersebut. Nampak sangat mereka ini sebenarnya tidak tahu apa yang mereka sedang lakukan, tetapi hanya sekadar mengikut arahan dari langit (orang atas).

Beberapa orang peguam sukarela yang berada di tempat kejadian cuba berdiplomasi dengan polis, diketuai oleh Saha. Saya yang tidak berpuas hati dengan penangkapan, mula membuat bising di dalam trak.

Di dalam trak tersebut, terdapat dua orang lagi tahanan perempuan. Tahanan lelaki ada lebih kurang 10 orang. Mereka hanya diam melihat "drama" yang berlaku di antara saya dan polis-polis di hadapan trak. Saya sempat berpaling ke arah mereka dan berkata, "Sekejap lagi saya berikan nasihat guaman".

Saya meminta supaya gari saya ditanggalkan, kerana pergelangan tangan saya rasa sakit. Tapi permintaan saya tidak diendahkan. Lalu, saya cuba leraikan sendiri dan mungkin kerana saiz pergelangan tangan saya yang kecil, percubaan saya berjaya.

Mempersoalkan kebiadapan polis

Saya mula mempersoalkan cara tangkapan dan sikap polis-polis yang kurang ajar itu. Mereka cuba mempertahankan tindakan mereka tapi saya tahu yang mereka sendiri sedar bahawa tindakan mereka itu tidak berasas. Saha mula menjelaskan sekali lagi isi kandungan risalah merah. Pada waktu ini, barulah salah seorang anggota polis itu membuka risalah tersebut dan membacanya.

Ketika itu, saya mula sedar bahawa kebanyakan tangkapan yang dibuat oleh polis adalah tanpa usul periksa. Contohnya ketika penangkapan saya, polis-polis tersebut tidak mengendahkan penjelasan saya dan tidak cuba membaca risalah tersebut. Hanya selepas tangkapan dibuat dan selepas didesak oleh Saha, mereka mula membacanya.

Saya telah dibebaskan daripada tahanan kira-kira 10 minit selepas itu.

Perhimpunan 2R : Double Standard

Jangka waktu yang singkat itu meninggalkan kesan yang mendalam terhadap diriku. Rasa sakit hati dengan cara pihak polis menangani hari perhimpunan tersebut yang sangat mengecewakan. Apa sudah jadi dengan hak berhimpun secara aman yang kononnya dilindungi di bawah Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan?

Kira-kira seminggu sebelum kejadian, sebenarnya terdapat satu lagi perhimpunan besar-besaran yang diadakan di tempat yang sama. Perhimpunan itu dinamakan 2R (kempen Ragut dan Rogol) yang dianjurkan oleh kerajaan. Jalan-jalan ditutup seawal jam 8 pagi. Beribu-ribu peserta meniup wisel dan melintasi jalan raya dengan baju merah jambu dan menyebabkan kesesakan lalu lintas dari empat arah bertentangan menuju ke Dataran Merdeka.

Saya tidak kisah dengan tujuan dan matlamat perhimpunan itu. Apa yang mahu saya tekankan di sini ialah, sekiranya pihak polis berjaya mengawal dengan baik perhimpunan 2R tersebut, mengapa tidak lakukan perkara yang sama untuk perhimpunan Mansuhkan ISA? Kerana ia bukan dianjurkan oleh kerajaan persekutuankah? Mengapa perlu ada "double standard" dalam menangani isu keselamatan dan keamanan orang awam? Dan, apabila kami sebagai peguam sukarela cuba menghulurkan bantuan guaman akibat kerja-kerja polis yang tidak mengikut prosedur, kami juga ditahan?

Bayangkan, segala-gala yang tertulis di atas adalah luahan hati saya yang hanya ditahan selama 10 minit.

101 kisah semasa ditahan

Bayangkan, orang-orang yang ditahan sehari semalam di dalam lokap tanpa mengetahui hak-hak mereka, dan ada yang dipukul.

Bayangkan, 11 orang anak guam wanita kami yang ditangkap pada waktu tengahari dan tidak diberi makan sehingga pukul 11 malam, mengadu sakit kepala dan berpenyakit asma, tidak diberikan ubat yang diminta walaupun peguam sudah membelikan dan memberikannya kepada polis bertugas. Mereka juga diherdik dan dicaci oleh polis-polis yang memanggil mereka bodoh, dungu dan sebagainya.

Bayangkan, tiga orang kanak-kanak berusia 13, 16 dan 17 tahun yang ditangkap pada siang hari, tidur di dalam lokap, disuruh pakai baju lokap, dan tidak diberi makan sehinggalah mereka diberi akses untuk berjumpa dengan peguam pada pukul 10 malam dan makanan dibelikan oleh peguam-peguam mereka. Yang lebih mengejutkan, ibubapa mereka dan pegawai dari Jabatan Kebajikan tidak dimaklumkan mengenai penangkapan mereka sehingga berlaku kekecohan apabila seorang bapa panik selepas beliau diberitahu anaknya sudah tidak lagi berada di dalam balai polis, tetapi dibawa ke "tempat lain".

Akhirnya bapa kanak-kanak tersebut membuat laporan polis atas "kehilangan" anaknya, dan selepas melihat bapa kanak-kanak tersebut membuat laporan, barulah polis-polis bertugas bersungguh-sungguh membantu lelaki itu mencari anaknya. Rupa-rupanya, kanak-kanak tersebut telah dibawa ke balai polis yang lain.

Bayangkan, seorang wanita berusia hampir 50 tahun yang mengidap sakit jantung tidak dibenarkan dibawa ke hospital, tetapi polis berkeras untuk mereman wanita tersebut bagi "siasatan lanjut". Beliau juga tidak diberikan ubat yang sepatutnya diberikan.

Sekarang, berhentilah bayang-membayangkan ini. Anda sebenarnya boleh mengalaminya sendiri, kerana realitinya di Malaysia, tidak ada yang mustahil.

*Puspawati Rosman ialah Ketua Projek Jawatankuasa Kesedaran Undang-undang Pusat Bantuan Guaman (PBG) yang ditangkap pada 1 Ogos 2009.