Thursday, October 22, 2009

GMI: Saluran kreatif tidak ganti demonstrasi jalanan.

Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) meningkatkan lagi kempen pemansuhan akta kontroversiti itu dengan menerokai pendekatan baru melalui pelbagai saluran kreatif - termasuk lagu dan persembahan pentas.

Bagaimanapun, pengerusinya, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, lagu tetap tidak dapat menggantikan peranan demonstrasi jalanan - yang masih menjadi salah satu agenda GMI.

"Peranan lagu dan demonstrasi adalah seiring. Lagu tidak boleh menggantikan demonstrasi. Demonstrasi untuk menunjukkan perasaan dan suara kita.

"Lagu pula lebih santai tetapi penuh bermesej. Ia mempunya audien yang berbeza," katanya.

Syed Ibrahim diminta mengulas pendekatan baru gerakan itu yang menganjurkan persembahan muzik Meor Yusof Aziddin - penyanyi folk indie - daripada album barunya Dari Rakyat Untuk Rakyat (DRUR) Sabtu lepas.

Album 'propaganda' yang popular dengan lagu ISA (Ikut Suka Aku) itu didukung beberapa penulis popular seperti Hishamuddin Rais, Pyanhabib, Abdullah Jones dan Rahmat Haron yang tampil menyumbangkan lirik.

Album yang memuatkan sepuluh lagu pelbagai genre itu, antaranya memuatkan mesej mengajak rakyat turun berdemonstrasi, mengkritik YB yang menipu rakyat, merakamkan tragedi Memali hampir 30 tahun lalu dan penghargaan kepada tokoh Parti Komunis Malaya (PKM) Shamsiah Fakeh.

Ketika dihubungi Malaysiakini pagi ini, Syed Ibrahim berkata, selain menyediakan pentas, GMI juga membantu Meor - yang juga pemuzik jalanan - dengan membeli DRUR dalam jumlah yang banyak bernilai RM3,000 untuk diedarkan.

Selepas ini, tambah Syed Ibrahim, mereka bercadang mengadakan menjelajah di negeri-negeri Pakatan bagi meluaskan mesej anti-ISA.

"Tetapi mungkin ada yang berbeza pendapat (tidak bersetuju) dengan lagu-lagu ini. Mungkin ada sedikit kontroversi, dengan (penggunaanm) gitar dan sebagainya, tetapi penyampaian (Meor) itu ikhlas. Kalau ia melalaikan, meyebabkan kita lupa pada Tuhan, saya pun tidak sokong.

"Tetapi ia mengukuhkan prinsip asas yang besar seperti kebenaran dan keadilan," katanya, merujuk kepada pandangan tradisional ahli agama yang beranggapan bahawa muzik Barat melalaikan.

Beliau juga berkata, beberapa tahun lalu, GMI pernah terlibat dengan album yang mempunyai tema hampir serupa di pasaran, Di Palang Ini nyanyian kumpulan nasyid La Khauf.

sumber.

Friday, October 16, 2009

Mari support Mahathir menentang "detantion without trial"

"14. Present at this conference will be people like Hans von Sponeck, Dennis Halliday, Michel Chossudovsky, Cynthia Mckinney, the victims of Guantanamo Bay in Cuba, the people who had been tortured and many others. They will tell of the laws which prohibit torture, the tortures carried out in Guantanamo and Abu Ghraib, the detentions without rial and without laws by the very people who talk about human rights, about the rule of law and a lot more."


Petikan dr blog che det ni sgt lah mengejutkan.

Obviously, Guantanamo Bay pernah diguna oleh seorang menteri UMNO sebagai dalil untuk menghalalkan ISA di malaysia.

Ada pulak ayat ni "the detentions without rial and without laws by the very people who talk about human rights".

Kelakar apekah yg cuba dicetuskan oleh chedet ni?

Macam mana pon, atas tajuk menentang tahanan tanpa bicara, wa menyokong usaha mahathir ni.

Marilah bersama mahathir menentang "detentions without trial"

Huwekkkk!!!(Wat posting sambil rasa nak muntah)

Bila diuji dengan ISA... Berdosa kalau diam, Norlaila. Bahagian 4,tamat.

"Semua orang akan mati, tapi tidak semua orang akan kena ISA. Jadi bagi saya, mungkin telah ditakdirkan oleh Allah, saya kena ISA. Jadi bila kita dah diuji dengan ISA ni, anda tak boleh hanya mendiamkan diri, tahu?"

"Kalau kamu diam," sambil memandang ke arah suaminya, bekas tahanan ISA, Norlaila Othman sambung, "Mat, berdosa ya?"

Demikianlah keyakinan dan ketabahan seorang aktivis Gerakan Mansuhkan ISA, Norlaila Othman (gambar kiri) apabila memilih untuk menentang ketidakadilan yang menimpa pada diri dan keluarganya. Suaminya, Mat Sah Mohd Satray ditahan di bawah Akta Keselamatan Negeri (ISA) pada tahun 2002, meninggalkannya bersama seorang anak yang berumur 8 tahun ketika itu, untuk memulakan penderitaan hidup yang bakal dilanjutkan setiap dua tahun...

Sesungguhnya, tujuh tahun bukanlah jangka yang pendek. Bukan senang untuk menahan keperitan hidup, namun lebih sukar untuk menahan godaan. Seperti Mat Sah, Norlaila juga berdepan dengan dilema, apabila diberitahu bahawa tempoh penahanan suaminya dilanjutkan kerana penglibatan dirinya dalam perjuangan Mansuhkan ISA.

Pernahkah Norlaila terfikir untuk mengundur diri dari perjuangan tersebut, apabila digoda dengan "kemungkinan Mat Sah dibebaskan lebih awal"?

"Pernah, tapi terlintas saja." Jawapan Norlaila sama dengan suaminya. Cuma, dari mana datangnya keyakinan dan ketabahan Norlaila?

Punca keyakinan dan ketabahan

Bukan seperti Wan Azizah Wan Ismail yang sebelum ini berperanan sebagai "isteri Timbalan Perdana Menteri" sebelum suaminya ditendang dari puncak kuasa, Norlaila hanyalah seorang guru sekolah menengah. Ketika Anwar Ibrahim ditumbangkan, keluarganya disokong gerakan reformasi dari setiap pelusuk, dijadikan tumpuan media antarabangsa, sebagai desakan untuk membebaskan tahanan politik tersebut.

Namun, ketika Mat Sah digari dan dibawa pergi hanya dengan alasan "mengancam keselamatan negara", masyarakat sedang diselubungi ketakutan terhadap serangan pengganas, ekoran daripada tragedi 911 yang berlaku beberapa bulan yang lepas. Malah, PAS yang ketika itu ditonjolkan dengan imej pengganas oleh propaganda kerajaan BN, turut berasa ragu-ragu untuk membantu keluarga Mat Sah.

Namun, Norlaila bukan bersendirian. Ketika mengimbas pengalaman pahit yang lalu, Norlaila tidak melupakan bantuan yang dihulurkan wartawan dari Harakah, Malaysiakini dan sebagainya. Yang lebih penting, apabila Norlaila berdepan dengan jalan buntu, kawan-kawannya dari Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) dijadikan sandaran.

"Saya luahkan perasaan saya, mereka akan dengar dan kata kepada saya, 'inilah perjuangan, oleh Wan Azizah dan yang lain. Semua wanita struggle, and you are not alone (kamu bukan bersendirian). Kalau kamu nak memperjuangkan keadilan, inilah harga yang mesti dibayar!'" ceritanya.

"We will always be with you, (Kami akan sentiasa bersama anda)" inilah kata-kata daripada kawan Norlaila yang menyuntik semangat agar tidak rebah di tengah perjuangan.

"Kesian dia Mat Sah, bila sampai dia mati orang akan kata dia terrorist (pengganas). Sampai anaknya Suhaib, ada cucu, orang akan kata cucu bekas tahanan ISA. Padahal, Mat Sah orang baik, dianiaya dan dijadikan scapegoat (kambing hitam)."

Inilah kata-kata yang diterima oleh Norlaila sepanjang tujuh tahun. Sokongan sedemikian tidak datang melimpah begitu sahaja. Norlaila mendedahkan rahsianya, "Sebelum orang support (sokong) kita, kita perlu ke depan kan, supaya orang nampak kita!"

Perjuangan berlandaskan prinsip

Ramai yang tertanya-tanya, apakah Norlaila akan mengundur diri selepas suaminya dibebaskan? Norlaila bukan pemimpin Hindraf yang mampu mengerah puluhan ribu penyokong ke jalan raya, tetapi jiwa perjuangannya lebih besar daripada itu.

Norlaila yang rajin membaca, merujuk fakta sepanjang perjuangan membebaskan suami dirinya, memperolehi keyakinan daripada ilmu pengetahuan. Norlaila berasa bertanggungjawab untuk membetulkan persepsi sesetengah orang PAS, bahawa ISA boleh digunakan terhadap komunis.

Dari pembacaan, Norlaila mendapati tahanan ISA meliputi ahli kesatuan yang memperjuangkan kepentingan buruh, pekerja kilang, peladang dan sebagainya, yang digolongkan sebagai "orang kiri". Malah, Norlaila menganggap komunis turut menyumbang dalam memperjuangkan kemerdekaan tanahair ini, cuma melalui cara yang mereka junjung.

"ISA bukan untuk menangkap komunis yang berjuang di hutan. Itu mitos sahaja." katanya. Norlaila kemudian menyusul, "Sebenarnya ISA untuk menjaga kemelayuan, hak-hak melayu. Bukan hak rakyat Melayu, tapi hak Melayu orang UMNO sahaja. Bukan UMNO semua, tapi segelintir pemimpin UMNO sahaja."

Beliau akhirnya menyimpulkan,"ISA bukan untuk komunis, tetapi alat politik segelintir orang UMNO untuk memastikan survival politik mereka. Itu saja."

Maka, Norlaila menemui jawapan untuk mereka yang teragak-agak untuk menyokong Gerakan Mansuhkan ISA. "The main idea is 'detention without trial'. Kita pegang kepada prinsip. Kamu tak persoalkan kamu ni PAS, DAP, Hindraf, atau Komunis?"

Berasaskan pengetahuan, kepercayaan agama, kata semangat daripada rakan seperjuangkan, Norlaila dengan tabah tampil di pentas antarabangsa, mendedahkan kisah bagaimana keluarganya dibayangi bintik hitam dalam Malaysia yang dilihat sebagai syurga.

"Ramai yang menangis selepas mendengar pengalaman saya, dalam satu convention di Geneva", dan ini amat bermakna sekiranya dilihat dalam konteks "suasana global untuk memerangi pengganas".

Dalam tempoh tujuh tahun, Norlaila cuba segala upaya untuk memperjuangkan pembebasan suaminya dan pemansuhan ISA. "Segalanya saya lakukan dengan beradab, tetapi apabila kerajaan kurang ajar dengan kita, perlulah kita untuk terus mengajarnya."

Demikianlah seorang wanita yang mengharungi ranjau hidup tujuh tahun. Kepada sesiapa yang masih meragui "kesetiaan" Norlaila untuk tetap bersama perjuangan ini selepas itu, mungkin tersenyum apabila melihat isteri ini dengan manja mengajak suaminya untuk bersama memperjuangkan keadilan. Dengan lembut Norlaila bertanya kepada Mat Sah, di depan wartawan, "Janji ya?" (Bahagian keempat, tamat)

Sumber.

Wednesday, October 14, 2009

Kita masih dalam ISA, Norlaila. Bahagian 3.

"Dia (Mat Sah) bukan dibebaskan. Dia dicampakkan keluar dari kem Kamunting ke depan rumah saya," demikianlah luahan Norlaila Othman, isteri Mat Sah Mohd Satray, bekas tahanan ISA yang dilepaskan pada 15 September lalu.

"Dia belum bebas..., kalau bebas dia nak tengok kubur maknya pun tak dapat lagi... Kalau ikut peraturan, dia nak hantar anaknya ke sekolah di Gombak pun tak boleh. Kalau dia sakit, dia tak dapat ke General Hospital seperti HKL(Hospital Kuala Lumpur). Dia tak boleh pergi ke HUKM (Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia), Cheras...," sambung Norlaila (gambar kiri), merujuk kepada sekatan yang dikenakan terhadap Mat Sah.

Mat Sah, walaupun dikeluarkan dari Kemta (Kem Tahanan Kamunting) sebelum Hari Raya Aidilfitri, terpaksa akur kepada beberapa syarat. Beliau hendaklah tinggal dalam kawasan Daerah Polis Ampang Jaya, Selangor; dan tidak boleh meninggalkan kawasan tersebut tanpa kebenaran bertulis Ketua Polis Negeri atau Wilayah Persekutuan yang berkenaan.

Malah, Mat Sah wajib melaporkan diri di balai polis setiap Isnin, dan berada di rumah dari jam 9 malam hingga 6 pagi, kecuali mendapat kebenaran polis. Dengan kata lain, Mat Sah hanya bebas bergerak di sekitar Ampang pada sebelah pagi, dan terkurung di rumah kediamannya pada sebelah malam.

Ini namanya lepas, tapi tak bebas. "Tak bebas" bukan hanya tertakluk kepada kebebasan bergerak, namun juga hak asasi yang termaktub dalam perlembagaan. Kementerian Dalam Negeri mengenakan sekatan dalam hitam putih, melarang beliau untuk berucap di khalayak ramai, berpersatuan, malah berpolitik. Hak asasi Mat Sah hanya seluas satu petak pada kertas undi.

Pada hakikatnya, Mat Sah masih berada dalam tahanan yang dilanjutkan (dua tahun) pada tahun Jun 2008. Arus manusia yang turun berdemonstrasi pada 1 Ogos, hanya mengeluarkan Mat Sah dari Kemta, ke satu kawasan bernama Ampang, yang berlangitkan bulan dan bintang pada sebelah malam.

"Kerajaan telah rosakkan suami saya!"

Namun, kuasa rakyat belum lagi mengeluarkan Mat Sah dan keluarganya dari Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Ia bukan sekadar kekhuatiran Norlaila terhadap anaknya Suhaib, dan anak-anak Malaysia lain yang berkemungkinan menjadi mangsa selagi ISA tidak dimansuhkan, tetapi kesan ISA yang meresap dengan begitu mendalam di hati mereka, dalam kehidupan harian mereka.

"Saya rasa dia telah dibodohkan dalam tujuh tahun, bukan 'dipulihkan'...," secara terus terang Norlaila menceritakan apa yang terjadi ke atas suaminya, menyanggah hujah rasmi kerajaan bahawa Mat Sah telah "dipulihkan".

Pengasingan ketika dalam tahanan, peraturan-peraturan yang dikenakan ke atasnya telah membuatkan Mat Sah (gambar kanan) semakin mundur dari segi fikiran, malah menjadikannya seorang yang malas fikir.

"Saya kena pulihkan dia balik...," kata Norlaila. Ketika ditanya apakah perwatakan Mat Sah tujuh tahun yang lalu, orang yang paling rapat dengannya ini menjawab," Dia seorang yang sangat cheerful (ceria)..., seorang bapa yang mesra dengan kami. Otaknya memang kerja nak cari duit saje...dia buat OT (over time)...it was seven years ago(tujuh tahun yang lalu)!"

"We lost everything for seven years, including the job. (Kami kehilangan segala-galanya dalam tujuh tahun ini, termasuk pekerjaannya)". Norlaila bersambung, "Dia jadi lain daripada tujuh tahun yang lalu. Suis lampu pun dia tak tutup. (Kita)... kena ulang bila cakap kepadanya..."

Norlaila tidak dapat mengawal kemarahannya, mengimbas kembali bagaimana dia perlu membayar untuk "membaiki suaminya yang rosak" ketika dalam tahanan. Norlaila menanggung kos rawatan gigi dan kaki Mat Sah ketika dalam tahanan, sementara berbelanja untuk membelikan makanan yang lebih baik untuk suami dan tahanan yang lain apabila melawat Kemta.

"Kerajaan telah rosakkan suami saya, kerana simpannya terlalu lama, tanpa sebarang alasan, tanpa perbicaraan di mahkamah...," kata Norlaila, "...sedangkan kita hidup di bumi yang sama, Malaysia. Dan kita mempunyai pemimpin yang sama. Tapi kenapa kehidupannya berbeza, dan on top of everything, dia tak pernah dibicarakan? Kalau dia convict (disabitkan kesalahan), saya terimalah, kan? Tapi because he is not convict... Dia bukan banduan!"

"Jadi saya tak puas hatilah. Dan saya akan sumpah orang yang... SB-SB yang jahat, bekerja untuk menahan orang bawah ISA, membuatkan mereka ditahan bertahun-tahun, mereka cipta pelbagai alasan untuk menahan mereka dengan lebih lama... Bagi saya ini adalah orang-orang yang pengecut, yang langsung tidak menghormati perlembagaan Malaysia."

Berbeza dengan tahanan lain yang bersyukur kepada kerajaan setelah "dibebaskan", Norlaila memesan Mat Sah untuk hanya bersyukur kepada Tuhan, dan bukannya kepada kerajaan kerana kerajaan inilah yang menyusahkan keluarganya untuk tujuh tahun tanpa perbicaraan.

Dunia Mat Sah berubah

Penahanan Mat Sah mengubah segala-galanya. Norlaila berkata, "Dia macam seorang yang baru keluar dari gua. Dia tak tahu apa-apa... bila saya bawa dia berjalan, banyak benda baru, banyak bertanya..."

Norlaila berkongsi pengalaman hidup mereka dengan wartawan MerdekaReview, dalam satu wawancara. Di sebalik "cerita lucu" yang kadang-kala membuat wartawan, termasuk dirinya tergelak, namun tetap menyayat hati apabila direnung kembali.

Pernah sekali Norlaila membawa Mat Sah ke pasar, dikejutkan apabila Mat Sah menjerit "ikan" sambil menuding kepada ikan yang dijual di situ. Gelagatnya mencungkil minat Norlaila, sambil membelek ikan tersebut untuk melihat apa yang luar biasa. Rupa-rupanya Mat Sah tidak pernah melihat ikan yang sebesar itu dalam tujuh tahun tahanannya.

Malah, Mat Sah merasakan semua orang hendak melanggarnya apabila berjalan di pasar raya. Beliau yang diasingkan bersendirian untuk bertahun-tahun tidak selesa dengan orang ramai. Bahkan apabila pertama kali Mat Sah melangkah ke rumahnya selepas tujuh tahun, beliau merasakan rumahnya seolah-olah penuh dengan "semak-samun", wahal hanya sofa dan sedikit hiasan yang ada pada ruang tamunya.

Jelas, dunia Mat Sah telah berubah. Beliau sudah biasa dengan ikan yang kecil, ruang yang kekosongan. Malah, beliau gagal mengagak benda dalam bilangan yang besar. Apabila Norlaila membawanya ke KFC, membeli makanan untuk ahli keluarga yang menziarahinya, Mat Sah berdegil dengan berkata "cukuplah satu barrel", padahal makanan itu sememangnya tidak cukup.

Dunia Mat Sah semakin mengecil, kekosongan, malah tertinggal dari rentak zaman apabila berasa pelik dengan alat-alat teknologi canggih seperti telefon bimbit, smart-tag, komputer dan internet.

Hubungan keluarga...

Untuk tujuh tahun yang lalu, jarak antara Mat Sah dengan anak tunggalnya, Suhaib disarat penuh dengan kerinduan. Jarak ini belum dirapatkan walaupun Mat Sah telah kembali ke pangkuan anaknya.

Menurut Norlaila, Mat Sah menjadi serba salah apabila ingin menegur anaknya. Begitu juga apabila Suhaib ingin bercakap dengan ayahnya, Suhaib akan memandang ke Norlaila, sambil memuncungkan mulutnya ke arah Mat Sah, "cakap dengan tu... Suhaib nak pergi KL..."

"Terlalu lama mereka berpisah..., " Norlaila mengaku bahawa belum lagi kedua-dua bapa dan anak ini mesra semula setelah dipisahkan sekian lama. Norlaila sendiri berdepan dengan keadaan yang sama, apabila merasakan ada seorang lelaki asing berada di biliknya, pada malam pertama Norlaila balik dari Sabah untuk bertemu dengan Mat Sah di rumah.

Malah, Mat Sah yang agak kendur dalam pergerakannya dan pemikirannya, kadang-kala mencungkil kesangsian Suhaib. Suhaib pernah tanya kepada ibunya Norlaila, sambil melihat ke arah Mat Sah dan menuding ke arah otak dirinya, "dia tu, (mental) ok tak?"

Walau bagaimanapun, anak lelaki yang separuh umurnya hidup tanpa bapa, kini menampakkan keceriaan di wajah setelah Mat Sah dibebaskan, menurut pemerhatian Norlaila. Bagaimanapun, anak yang juga turun berdemonstrasi untuk menuntut pembebasan bapanya, cuba membaiki hubungan dengan ayahnya, apabila mengajak agar ayahnya menghantarnya untuk bermain di padang.

Wartawan dapat perhatikan keceriaan di wajah Mat Sah berbaur dengan kekesalan. Tujuh tahun Mat Sah dihalang untuk menunaikan tanggungjawabnya sebagai seorang ayah dan suami... hanya kerana ISA.

Sumber.

13 Mei berulang tanpa ISA? Bahagian 2.

"Kalau tak ada ISA ni, dalam tempoh lima tahun-lah, pergaduhan kaum akan berlakulah. Melayu, Cina, India akan... macam 13 Mei."

"Kalau tak ada ISA, memang susahlah... susah kerjanya sebab nak tangkap pun tak ada bukti. Kalau ada ISA bolehlah tangkap saja. Senang saja."

Demikianlah antara propaganda yang cuba ditusuk ke dalam minda tahanan ISA, dengan pengakuan oleh Special Branch (perisik, biasa dikenali sebagai SB) pada hari-hari akhir sebelum Mat Sah Mohd Satray dibebaskan.

"JI" tidak disebut semasa tangkapan

Tujuh tahun tahanan Mat Sah dimulakan dengan alasan tangkapan yang berbunyi "mengancam keselamatan negara", dilempar pula label "ahli Jemaah Islamiyyah (JI)" dan "Kumpulan Militan Malaysia (KMM)" semasa soal siasat, dan dilanjutkan tempoh tahanan kerana "masih berada dalam suasana global memerangi pengganas".

Pada malam 17 April 2002, kediaman Mat Sah dirempuh 12 orang polis. Mat Sah digari, sementara rumahnya digeladah. "Apabila saya tanyakan mana waran tangkapan, mereka kata 'tak payah waran' kerana mereka 'pegawai gred A'," kata Norlaila Othman (gambar kiri, kanan), isteri Mat Sah yang hanya dapat menatap bayang suaminya dibawa pergi sambil menahan sebak.

Apa yang berlaku tujuh tahun lalu masih segar dalam ingatan Norlaila. "Mereka tak sebut pun perkataan 'JI' atau 'KMM' (semasa tangkapan), cuma kata 'kami ada alasan-alasan untuk menahan anda di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri kerana mengancam keselamatan negara'."

Keesokannya, media cetak arus perdana menyiarkan berita bahawa KMM cuba sabotaj untuk meletupkan pelabuhan Klang. Masyarakat diselubungi ketakutan terhadap serangan pengganas, berikutan tragedi serangan pengganas pada 11 September 2001.

Mat Sah yang berada dalam tahanan polis pula diselubungi kesejukan, disoal siasat dari jam 9 pagi hingga 5 petang, oleh tiga orang pegawai secara bergilir. Malah, Mat Sah yang menggigil di bawah penghawa dingin itu tidak dibenarkan ke tandas, hanya dibekalkan botol air mineral ketika membuang air.

"...tak bersedia nak terima kita"

Mat Sah, seorang technician yang berkhidmat dengan Dewan Bahasa Pustaka (DBP) pada ketika itu, dikaitkan dengan Abu Bakar Bashir yang dituduh sebagai pemimpin JI. Mat Sah mengenali Abu Bakar Bashir kerana menghadiri khususnya, yang diwajibkan oleh DBP sendiri.

Maka, label terhadap Mat Sah (gambar kanan) kini bertukar dari KMM di media arus perdana, kepada JI. Tuduhan itu dipikul Mat Sah tanpa sokongan bukti. Apabila dua tahun pertama berakhir, harapan Mat Sah untuk dibebaskan berkecai kerana diberitahu 'Malaysia dah buat komitmen dengan ASEAN untuk combat (banteras) terrorism (aktiviti pengganas), lebih-lebih lagi Amerika Syarikat... '"

Malah, apabila peguam muda, Edmund Bon membuat permohonan Habeas Corpus di mahkamah untuk mencabar prosedur penahanan Mat Sah, ia berakhir dengan kekecewaan setelah hakim menolak permohonan tersebut dengan penghakiman yang berbunyi "masyarakat dunia kini sedang memerangi pengganas".

Tetapi, seandainya Mat Sah benar-benar pengganas, apa pula program "pemulihan" yang disediakan di kamunting?

"Pada saya, mereka (autoriti Kemta) tu tak bersedia nak terima kita. Nak buat macam mana tak tau...," cerita Mat Sah yang cuba mengimbas kembali apa yang berlaku dalam tahanan. Malah, autoriti Kemta sendiri bertanya kepada tahanan, apakah program yang mereka mahu untuk mengisi masa yang selebih itu?

Itulah puncanya kewujudan khusus membuat jeruk, soya dan sebagainya, sehingga menjadi pertikaian untuk mereka yang mempersoalkan sejauh manakah munasabahnya alasan penahanan?

Masa lapang Mat Sah tidak terisi. Buku hanya boleh dibaca sebelum malam menjelma kerana tiada lampu dalam bilik...

Demikianlah tujuh tahun tahanan yang dilalui oleh Mat Sah, tanpa bukti, tanpa keadilan; tanpa bulan, tanpa bintang. Selepas tujuh tahun, Mat Sah walaupun dikeluarkan dari Kemta, tetap berada dalam ISA...

Sumber.

Tuesday, October 13, 2009

Demo 1 Ogos yang bebaskan saya, Mat Sah. Bahagian 1.

Kerajaan semakin tertekan lantaran demonstrasi "Mansuhkan ISA" pada 1 Ogos yang lalu, menjurus kepada pembebasan lima orang tahanan ISA sebelum Hari Raya Aidilfitri tahun ini. Demikianlah jangkaan Mat Sah Mohd Satray, menyanggah hujah bahawa tahanan ISA dibebaskan setelah "dipulihkan secara menyeluruh".

Bahang kemarahan rakyat terhadap Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) turut dirasai Mat Sah yang terkurung di dalam Kem Tahanan Kamunting (Kemta), melalui interaksi Special Branch (perisik, biasa dikenali sebagai SB) dengannya.

SB dari Bukit Aman yang sebelum ini mengunjungi Kemta enam bulan sekali, bertemu dengan Mat Sah hampir dua minggu sekali, selepas puluhan ribu manusia membanjiri pusat bandaraya Kuala Lumpur dengan laungan slogan "Mansuhkan ISA".

Lepas bebas, bubar GMI...

Sehinggakan pada saat-saat terakhir, apabila Mat Sah menandatangani surat pembebasan dari Kamunting, polis meluahkan sesuatu kepadanya...

"Hari terakhir, masa dia (polis) bahagi ni surat, dia harap lepas bebas ni, GMI bubarlah," kata Mat Sah sambil menunjukkan surat tersebut kepada wartawan, disampuk segera oleh isterinya, Norlaila Othman, "No way!"

Pada 17 April 2002, Mat Sah ditangkap di bawah ISA dengan alasan "mengancam keselamatan negara". Beliau kemudiannya dilemparkan label ahli Jemaah Islamiyyah dan Kumpulan Militan Malaysia (KMM), tanpa dibicarakan di mahkamah. Isterinya, Norlaila Othman (gambar kanan), bergiat aktif memperjuangkan pembebasan Mat Sah melalui Gabungan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Gerakan Mansuhkan ISA (GMI), mengecapi hasilnya pada 15 September 2009.

Dalam wawancara bersama MerdekaReview, Mat Sah menceritakan bagaimana SB kelihatan terdesak setelah demonstrasi tersebut. Beliau dibawa ke Police Remand Centre (PRC) di Kuala Lumpur, menjalani program "brainwash". Mat Sah dihujani pelbagai soalan, di samping propaganda mengapa ISA perlu dikekalkan.

"...Patutkah ISA dihapuskan, dia (SB) tanya. Saya jawablah, kata saya pun dah tujuh tahun (ditahan) dah, memang patutlah (dihapuskan)...", sambil gelak bersama wartawan, beliau sambung, "dah terlalu lama kan?"

"Memang awak layak bebas..."

"Memang awak layak bebas...," Ayat inilah yang dinanti-nantikan oleh Mat Sah sepanjang tujuh tahun ini. Ingatan Mat Sah masih segar, mengimbas pengalamannya setelah genap dua tahun pertama beliau ditahan.

"Mat Sah (gambar kiri), saya tak boleh bebaskan awak. Malaysia dah buat komitmen dengan ASEAN untuk combat (banteras) terrorism (aktiviti pengganas), lebih-lebih lagi Amerika Syarikat. Kalau kami bebaskan awak, apa kata mereka?"

Demikianlah alasan yang diberikan kepada Mat Sah dari Bukit Aman. Malah, tahanan ini perlu menjalani "ujian poligraf" untuk menguji sama ada dirinya berbohong kepada pihak berkuasa.

"Dua kali dia buat, tahun sudah ada, tahun ini pun ada. Dulu dia (polis) kata tak lulus, kali ini lulus pula. Tapi serupa saja, jawapan saya itu juga." Kemudian, Mat Sah menambah, "saya nampak dia memang nak bebaskanlah. Alasan (lulus ujian poligraf) untuk bebas itu saja."

Sebab dilanjutkan tahanan...

Seandainya itulah alasan Mat Sah dibebaskan, apa pula alasannya untuk dilanjutkan tempoh tahanan?

"Pertama, tak ikut peraturan; kedua, pasal isteri vocal..." ujarnya kepada wartawan, sambil melihat ke arah Norlaila. Malah, Mat Sah dijadikan "bad example" kepada tahanan lain, untuk menghalang keluarga tahanan lain daripada tampil memperjuangkan isu ISA.

Walaupun bukan secara terus-terang, tetapi Mat Sah dapat merasakan SB cuba menyampaikan mesej tersirat "isteri awak kena slow sikit" dalam perbualan bersamanya. Wartawan menyusul dengan soalan, pernahkah terlintas dalam otak Mat Sah, untuk menasihati isterinya agak "tidak terlalu ke depan"?

Dengan jujur Mat Sah mengakuinya, "Saya cuma cakap, SB cakap macam tu..." Sambil ketawa, wartawan membalas, "berlapik jugalah macam tu..."

Norlaila yang berada di sisi Mat Sah tidak sabar untuk melakonkan semula perbualan mereka ketika itu. Dengan lembut Norlaila berkata, "Kalau you tak bagi I pergi kempen, I tak datang kem-lah..."

Wartawan tertawa dengan gelagat pasangan suami isteri ini, walaupun menyedari di sebalik gelagat hari ini, tersarat dengan kepiluan yang lalu. Mat Sah kembali menceritakan pertimbangannya ketika itu. Beliau mengakui bahawa fikiran ini sekadar "terlintas" dalam otak, memandangkan Dr Abdullah Daud dari Johor turut dilanjutkan tempoh tahanan walaupun isterinya tidak berbuat apa-apa.

Patuh peraturan tidak jamin pembebasan

Walau bagaimanapun, Norlaila bukan bergiat aktif sebermulanya suaminya ditahan. Malah, Mat Sah mematuhi segala peraturan yang ditetapkan dalam kem dengan harapan agar beliau dapat dibebaskan selepas dua tahun.

Namun, segala-galanya berubah setelah dua tahun, apabila Mat Sah dapat perhatikan bahawa tahanan Al-Ma'unah yang "baik" (mematuhi segala peraturan) tetap ditahan, sebaliknya tahanan "reformasi" yang "jahat" (tidak bekerjasama dengan pihak kem) pula dibebaskan.

Bertitik tolak daripada itu, Mat Sah mula tidak bekerjasama dengan pihak kem, seperti enggan menyanyikan lagu Negaraku pada jam 7 pagi saban hari. Sementara itu, Norlaila mula bergiat di luar, melalui serahan memorandum kepada Suhakam, ceramah dan sebagainya untuk mendesak agar suaminya dibebaskan.

Hukuman akibat "ambush" Abdullah

Perjuangan Norlaila gagal membebaskan Mat Sah, sebaliknya mengakibatkan suaminya itu dihukum dengan penahanan secara berseorangan, selama tiga tahun.

Pada 23 Februari 2006, Norlaila yang menemui jalan buntu untuk berjumpa Abdullah Ahmad Badawi, memilih jalan untuk "ambush" Perdana Menteri itu dalam satu aktiviti yang dianjurkan Felda. Norlaila sempat menyerahkan memorandum kepada Abdullah Badawi, yang dibalas dengan ungkapan "Insya-Allah" daripada pemimpin itu.

Tindakan di luar dugaan ini mengundang hukuman penahanan bersendirian selama tiga tahun terhadap Mat Sah. Hukuman ini dilihat sebagai amaran kepada tahanan lain, supaya keluarga mereka tidak mengulangi apa yang dilakukan Norlaila... (Bahagian pertama, bersambung)

Sumber

Monday, October 12, 2009

Tahniah Kerajaan P.Pinang Atas Pendirian Anda



Billboard Anti ISA telah di pasang di Pulau Pinang.

Selangor,Kedah dan Kelantan bila lagi??