Sunday, August 1, 2010

Kumpulan anti-ISA guna pendekatan sederhana

August 01, 2010
Syed Ibrahim Syed Noh bersama risalah anti-ISA yang diedarkan kepada orang ramai di kompleks Sogo, Kuala Lumpur pagi tadi. - Gambar oleh Choo Choy May
KUALA LUMPUR, 1 Ogos — Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) mengambil pendekatan sederhana kali ini bagi mendesak kerajaan memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960, undang-undang yang berusia 50 tahun hari ini, berbanding perarakan aman besar-besaran di ibu negara setahun lalu.

Pengerusi GMI Syed Ibrahim Syed Noh berkata, pihaknya mengambil program sederhana tahun ini — melibatkan penyebaran 100,000 risalah di seluruh negara — bagi mendidik orang ramai tentang mesej mendesak agar ISA dimansuhkan.

“Kami mahu menggalakkan orang ramai membaca dan memahami apa itu ISA sebenarnya, dan mengapa pentingnya ia dimansuhkan... bukan hanya dipinda,” kata beliau di sini hari ini.

Kata beliau, apa yang penting ialah orang ramai memahami mengapa GMI membantah ISA, bukan setakat turun ke jalan-jalan raya dan menyertai protes.

“Mereka kena memahami akta yang kejam ini,” katanya.

Syed Ibrahim berkata sukarelawan-sukarelawan akan menyebarkan risalah anti-ISA di Pulau Pinang, Perak, Sabah dan Sarawak untuk mencapai mesej GMI.

Sehubungan itu kata Syed Ibrahim, GMI perlu kreatif dalam menjalankan program-programnya dengan mengadakan aktiviti lain seperti pementasan dan papan iklan sebagai cara untuk menyebarkan mesejnya.

Bagaimanapun beliau tidak menolak kemungkinn mengadakan satu lagi perhimpunan awam apabila tiba masa yang sesuai kelak.

“Kita perlu melakukannya sekali sekala untuk memastikan kerajaan sedar bahawa rakyat terus menentang ISA,” katanya.

Pada awal Ogos tahun lalu ribuan orang membanjiri ibu negara untuk menyertai perhimpunan anti-ISA anjuran GMI.

Mereka berdepan dengan anggota polis yang melepaskan tembakan gas pemedih mata serta tembakan meriam air di lokasi perhimpunan di kompleks membeli-belah Sogo, sekitar Masjid Jamek, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Raja Laut, Dataran Merdeka, Masjid Negara serta pekarangan ibu pejabat PAS di Jalan Raja Laut.

Lebih 500 orang ditahan.

Meneruskan usaha mereka, GMI akan mengadakan program ‘candlelight vigil’ pada pukul 8 malam ini serentak di Perak, Pulau Pinang, Kedah, Negeri Sembilan, Johor, Kelantan, Sabah dan Sarawak.

Cabang GMI di Britain juga mengadakan program yang sama di Dataran Trafalgar, London pada masa yang sama. [link]