Friday, August 14, 2009

Kami tetap dianiaya - Norlaila Othman

Selasa 11 Ogos 2009

Ramadhan bakal menjelang beberapa hari lagi. Kebetulan hari ini aku tiada sebarang temujanji atau program di luar kawasan, lalu mengambil peluang ini untuk mengemas rumah supaya aku merasa lebih tenang ketika menjalani ibadah puasa di bulan Ramadhan nanti.

Selain mengemas rumah, aku juga sedang merancang untuk menziarahi Abah Suhaib yang masih dikurung tanpa bicara, di Kem Kamunting. Abah Suhaib (Mat Sah) terlalu rindu pada Suhaib kerana hampir dua bulan kami tidak menziarahi beliau di Kem.

Suhaib sibuk dengan pelbagai aktiviti sekolah dan aku pula selalu keluar daerah kerana membantu mobilisasi Himpunan Mansuhkan ISA yang masih lagi diperkatakan oleh ramai orang. Berita aku dan Suhaib ditahan serta disimpan dalam lokap polis ketika perhimpunan aman Mansuhkan ISA pada 1 Ogos lepas, menambah keinginan Abah untuk bertemu dengan kami.

Tiba-tiba sms di telefon bimbit berbunyi, "Kak, abang Mat Sah ada di PRC sekarang...," kata si pengirim iaitu seorang bekas tahanan ISA yang telah dibebaskan dua tahun lepas. Aku merenung sms itu dan berfikir seketika.

Aku merancang untuk pergi ke Kem pada hari Jumaat 14 Ogos. Nasib baik ada orang beritahu Abah berada di Police Remand Center (PRC) di Kuala Lumpur. Jika kami terus saja ke Kem pada hari Jumaat, mungkin kami tidak dapat berjumpa beliau....Walau apa pun, aku mesti mendapat kepastian daripada pihak Kemta sendiri bahawa Abah Suhaib benar-benar berada di Kuala Lumpur...

Warden Kem sahkan Mat Sah di Kuala Lumpur.

Rabu 12 ogos 2009

Aku menghubungi Kemta. Dialognya adalah seperti di bawah.

Aku: Boleh sambungkan saya ke pejabat rekod tahanan?

Warden: Apa yang boleh saya bantu puan?

Aku: Saya ingin menziarahi Mat Sah. Beliau ada di kem atau tidak?

Warden: Puan, Mat Sah di PRC, Kuala Lumpur. Dia dibawa ke sana sejak Ahad lepas. Dia akan berada di K.L sampai Ahad akan datang.

(Aku mencongak. Ahad lepas 9 Ogos, Ahad depan 16 Ogos)

Aku: Bagaimana saya boleh hubungi dia?

Warden: Puan cubalah telefon PRC, Bukit Aman dan minta jumpa di sana (KL).

Aku: Boleh bagi no telefon PRC?

Warden: Maaf puan, kami tak ada nombor PRC Bukit Aman.

Aku: Macam mana saya nak hubungi suami kalau awak tak beri nombor telefon Bukit Aman?

Warden: Maaf puan. Itu saya tak tahu.

Aku memang rasa marah dengan jawapan warden Kemta. Tetapi aku menyedari, "polisi kerja warden kemta" sememangnya begitu. Kalau dikatakan mereka itu bodoh bagai lembu dicucuk hidung, nanti mereka marah. Tetapi memang begitulah cara mereka berurusan dengan mangsa ISA seperti aku, amat jelas memperlihatkan bahawa mereka yang bertugas sebagai warden Kemta, adalah petugas kerajaan yang tidak bertanggungjawab langsung!

Akhirnya aku teringat nombor telefon seorang Polis Cawangan Khas (SB) yang masih aku simpan di telefon bimbit. Aku hubungi SB yang bernama "S" itu. Inilah dialognya.

Aku: "S", Mat Sah ada di PRC ke?

SB "S": Ye kak. Dia dibawa ke sini sejak Ahad lepas dan akan dihantar semula ke Taiping pada hari Sabtu ni.

Aku: Boleh tak kami nak jumpa dia di PRC?

SB "S": Maaf kak, tak boleh. Program di sini padat sangat. Kalau nak jumpa dia, akak pergilah ke Taiping hari Ahad atau minggu depan.

Aku: Tak kanlah nak jumpa kejap pun tak boleh?

SB "S": Maaf kak. Tak sempat untuk pertemuan keluarga. Akak jumpa di Kemta (Kamunting) saja nanti.

Sekali lagi aku rasa amat-amat dianiaya oleh polis, tak kira samada yang beruniform atau yang berpakaian biasa. Semua jawapan berselindungkan kata-kata "Kami hanya menurut perintah". Malang. Memang amat malang pada sesiapa saja yang dipilih untuk di labelkan dan dijadikan mangsa ISA.

Tahanan ISA 7 tahun:
"Alat mainan" KDN dan Menteri

Tahanan ISA 7 tahun boleh dipindahkan ke mana sahaja tanpa perlu memberitahu ahli keluarga mereka. Polis bebas memperlakukan apa saja yang tergerak di hati mereka terhadap tahanan tersebut.

Inilah hakikat nasib tahanan ISA 7 tahun. Mereka diperlakukan lebih teruk dari banduan yang telah terbukti kesalahan mereka, dan dijatuhi hukuman oleh hakim di mahkamah. Mereka tiada nilai sebagai manusia. Mereka seolah-olah suratkhabar lama yang boleh diangkut dari satu tempat ketempat lain, pada bila-bila masa saja mengikut selera KDN. Mereka boleh dicampak, dipijak dan ditenyeh mengikut suka Menteri Dalam Negeri.

Mereka akan bernilai pada KDN untuk dijadikan bahan cercaan dan fitnah jika berlaku sesuatu rusuhan awam atau letupan di negara lain. Mereka juga bernilai jika ada seorang menteri yang baru dilantik menjadi Menteri Dalam Negeri atau jadi PM!

Sesi pemulihan = perbicaraan di mahkamah?

Entah berapa puluh kali Mat Sah telah dibawa ke PRC untuk sesi "brain wash" yang kononnya diadakan untuk memulihkan perangai tahanan...Ini bukanlah kali pertama Mat Sah dilarikan dari Kem Kamunting untuk sesi siasatan atau "brain wash” atau pemulihan.

Beliau dituduh sebagai Ahli Jemaah Islamiyyah (JI) yang didakwa mengancam keselamatan negara tetapi tidak pernah dibicarakan di mahkamah terbuka. Tuduhan yang begitu berat dilemparkan oleh Menteri Dalam Negeri, hanya perlu pada pemulihan saja? Aneh bukan?

KDN dibantu oleh beberapa institusi kerajaan seperti JAKIM, ILIM bersusah payah mengadakan sesi pemulihan itu kepada tahanan ISA seperti Mat Sah? Kenapa KDN sanggup bersusah payah mengambil masa tujuh tahun lebih untuk memaksa Mat Sah mengaku sesuatu perkara yang dia tidak lakukan? Bagaimana institusi agama seperti JAKIM dan ILIM boleh bersekongkol dengan KDN menghidupkan akta tahan tanpa bicara ini?

Bukankah ada jalan yang lebih mudah untuk menyelesaikan masalah ini? Kenapa tidak bicarakan saja dia di mahkamah? Bukankah polis dan KDN sering berkata "mereka punya bukti lengkap" untuk terus menahan mangsa ISA itu?

Penguasa ISA sengaja menyusahkan Suhaib

Anak saya Suhaib (gambar kanan) terlalu ingin bertemu dengan bapanya. Beliau berada di PRC, Kuala Lumpur yang jaraknya cuma 15 minit memandu dari rumah kami di taman Keramat. Suhaib hanya perlukan satu jam untuk bersama bapanya, adakah permintaan itu terlalu berat untuk ditunaikan?

Kenapa aku dan Suhaib terpaksa menunggu bapanya habis sesi "brain wash" itu, menunggu beliau dipulangkan ke Kemta, Kamunting dan hanya dibenarkan melawatnya di sana? Bukankah ini satu lagi diskriminasi terhadap aku dan Suhaib?

*Norlaila Othman ialah Pengerusi Pusat Sokongan Keluarga Gerakan Mansuh ISA (GMI), isteri kepada Mat Sah Satray, tahanan ISA sejak tahun 2002.

1 comment:

Unknown said...

Kak Norlaila, Saya ada membaca dalam malaysian insider yang katakan suami akak telah dibebaskan. Tahniah akak! Saya yang tiada pertalian keluarga pun hampir menitis air mata membaca berita itu. Akak memang tak pernah kenal saya. Saya amat gembira atas pembebasan ini. Saya sering juga membaca tulisan akak sebelum ini. Alhamdulillah. Selamat hari raya akak. Pastinya raya kali ini amat bermakna utk akak, abang mat sah dan suhaib.