Friday, July 17, 2009

GMI mahu MB Pakatan Rakyat bantu Himpunan MANSUH, 1 Ogos depan



KUALA LUMPUR: Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Kedah dan Selangor setelah bertemu Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat, 2 Julai lalu bagi menggerakkan Himpunan MANSUH yang akan dianjurkan 1 Ogos depan, lapor Nyza Ayob.

Pengerusinya, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, selain mendapatkan sokongan kerajaan negeri Pakatan Rakyat, pertemuan tersebut juga supaya setiap negeri dapat mengerah seluruh rakyat daripada negeri masing-masing untuk turun pada perhimpunan tersebut.

Beliau yang dihubungi Harakah, berharap negeri-negeri ini dapat membantu mempromosi perhimpunan tersebut dengan memasang papan tanda serta kain rentang sebagai sokongan memansuhkan ISA.

Tambahnya lagi, jelajah ceramah ke seluruh negara telah bermula di Kuala Lumpur pada 28 Jun lalu dan akan diteruskan di negeri-negeri lain sehingga menjelang perhimpunan 1 Ogos itu.

Program tersebut merupakan kempen awal menjelang Himpunan MANSUH bagi meningkatkan daya kesedaran di kalangan rakyat tentang kezaliman ISA, membela nasib tahanan dan keluarga, dan mendesak kerajaan membebaskan tahanan.

Menyentuh mengenai sekretariat MANSUH, Syed Ibrahim menjelaskan, sekretariat terdiri daripada pimpinan PAS, DAP dan KeADILan, kalangan pimpinan Badan Bukan Kerajaan (NGO) serta pelajar-pelajar.

Beliau juga menyeru seluruh rakyat daripada pelbagai lapisan masyarakat memberikan sokongan agar kerajaan memansuhkan ISA dengan menyertai perhimpinan tersebut.

"Kita tidak boleh membiarkan lagi ISA ini berpanjangan demi untuk menjaga masa depan generasi akan datang. Saya mengajak rakyat untuk memberikan satu mesej yang jelas kepada kerajaan untuk mengambil tindakan segera iaitu bukan mengkaji ISA tetapi memansuhkan terus akta zalim ini," tegasnya.

No comments: