Syeikh Fawwaz, pemilik kedai buku (maktabah) al-Aqsa di Bandar Mafraq amat dikenali oleh para pelajar Malaysia di Universiti Al al-Bayt, Jordan. Sebagai mantan mujahidin yang pernah berjihad di Afghanistan, beliau amat memahami erti kata jihad. Malangnya sistem autokratik di Jordan telah menjadikan kehidupan beliau dan manusia seumpamanya menjadi begitu sukar. Beliau bukanlah seorang pengganas, malah dari akhlaknya yang lembut dan fikirannya yang rasional jauh seklai terbayang manusia seumpamanya akan melakukan kerja-kerja gila yang dilakukan oleh sesetengah golongan yang mendakwa menjadi mujahidin di Iraq dengan menggadaikan nyawa orang awam yang tidak berdosa. Beliau memahami jihad dalam erti kata yang sebenar, dan melihat setiap tempat mempunyai suasana, realiti dan keutamaan yang berbeza. Keadaan inilah yang menjadikan beliau agak tidak bersetuju dengan hala tuju golongan yang menggelarkan diri mereka sebagai al-Qaedah. Beliau juga tidak bersetuju kumpulan tersebut memonopoli ruangan ‘jihad’, lantas memberikan konotasi stereotaip pada makna ‘jihad’.
Saya pernah menghadiahkan beliau siri kuliah al-Marhum Syeikh Ibn Uthaymin mengenai bab Jihad dari kitab ‘Zaad al-Mustaqni’. Beliau amat menyukainya, tetapi mempunyai satu kesimpulan yang amat menarik. Katanya, “Persoalan perjuangan hanya akan menjadi manis jika diperkatakan oleh para pejuang, bagi para ilmuan, mereka hanya ada teori tetapi kekurangan pengalaman...”. Hipotesis beliau ada benarnya. Jika dibaca bab jihad di dalam karya klasik para ulama silam seperti buku al-Minhaj karangan al-Nawawi, Hashiyaat karya Ibn Aabidin, Mughni karya Ibn Qudamah ataupun al-Mudawwanah karya Shahnun tidak akan sama seperti tulisan-tulisan Ibn Taymiyyah. Bezanya, Ibn Taymiyah pernah berjihad, malah mengepalai tentera Muslim melawan Tartar dan telah berjaya di dalam peperangan tersebut. Maka ‘bisa’ tulisan Ibn Taimiyah tiada tandingan dengan karya-karya lain yang dihasilkan oleh para ulama yang tidak pernah merasai kehangatan matahari di medan perang, dan juga tidak pernah mendengar desingan pedang-pedang yang berlaga di medan pertempuran. Begitu juga halnya dengan para pembaca. Bagi para pembaca yang pernah terlibat di dalam kancah peperangan tidak akan sama dengan mereka yang hanya menjadikannya sebagai bahan ilmiah dan latihan minda semata-mata.
Hal yang sama ketika saya mengkhatamkan karya Kafka, samada ‘The Trial’ mahupun ‘The Castle’. Bukan Kafka yang saya maksudkan, tetapi para pembaca yang menghayati kedua-dua novel tersebut. Watak Joseph K, dan juga K akan hanya dapat dihayati oleh mereka yang pernah menjadi mangsa kekejaman apparat para diktator. Ditahan tanpa bicara, dinafikan hak asasi sebagai rakyat malah sebagai individu, dikenakan hukuman yang zalim...seperti yang dialami oleh Joseph K dan K hanya dapat difahami oleh mereka yang pernah merasainya. Sesiapa yang berpeluang mengkhatamkan buku ‘Suara dari Kemunting’ karya Saari Sungip, wakil rakyat DUN Hulu Kelang, Two Faces oleh Syed Husin Ali, dan juga buku-buku yang mencoretkan pengalaman para mangsa ISA akan dapat merasaikan aura ruh perjuangan menentang kezaliman yang hendak disampaikan. Mungkin para tahanan ISA yang dizalimi oleh akta draconian tersebut akan lebih dapat menghayati isi kandungan karya Kafka si Yahudi Czech.
Amat simpati kita melihat bilamana ada di kalangan para ulama dan juga individu Muslim yang bersetuju dengan kezaliman akta zalim bernama ISA. Bukan hanya ianya bertentangan dengan konsep ‘Rule of Law’ yang diakui seluruh manusia di dunia, malah ISA juga bertentangan dengan ruh Islam, al-Quran, Sunnah dan juga Objektif Syariah Islam (Maqasid al-Shariah). Manusia Muslim (Homo-Islamicus) wajib menjalankan amar makruf nahi munkar. Manusia Muslim wajib menjalankan peranan untuk menasihati para pemimpin seperti yang diseru oleh Nabi Muhammad SAW, Manusia Muslim wajib juga menyatakan kebenaran walau apapun konsekuensinya, dan kepada siapa sahaja. Perkara tersebut telah dijamin oleh al-Quran, para pemimpin Muslim sepatutnya lebih bersedia untuk ditegur, dibetulkan dan ditukar jika mereka berlaku zalim dan mengkhianati amanah yang telah rakyat berikan kepada mereka.
Malangnya akta zalim ini menghalang Homo Islamicus untuk melakukan ibadat dan amal salih tersebut. Kejumudan melihat amal salih hanya pada aktiviti ritual sahaja harus diperbetulkan. Aktiviti akauntabiliti juga merupakan amal salih, malah mungkin lebih utama ganjarannya, kerana ianya bukan untuk diri individu, malah untuk kesejahteraan manusia yang lebih ramai. Aktiviti keterlibatan politik juga merupakan amal salih, aktiviti masyarakat sivil juga merupakan amal salih, aktiviti untuk memastikan ‘good governance’ sekaligus memastikan amanah yang diberikan oleh rakyat dijalankan juga merupakan amal salih. Malangnya, akta zalim ISA berterusan menghantui para manusia Muslim dari terus melakukan amal salih.
Salut diberikan kepada para pejuang kebenaran. Salut diberikan kepada para penentang kezaliman. Salut diberikan kepada mereka yang tidak jemu berusaha agar akta zalim yang menghalang manusia Muslim dari melakukan amal salih dimansuhkan. Salut juga diberikan kepada para agamawan yang menyedari kezaliman akta tersebut dan berusaha mengharamkannya. Salut juga kepada mereka yang berterusan memastikan agar ruang untuk manusia Muslim dapat melakukan amal salih lewat keterlibatan politik, tidak kiralah mereka itu Muslim ataupun tidak...
Tiada salut untuk pihak oligarki yang berusaha menjadikan manusia semua seumpama Sancho Panza yang bertaklid buta kepada kegilaan Don Quixorte!
* Salut juga bagi mereka yang pernah disumbat ke dalam bilik ‘101’ para apparat diktator. dari 'Ministry of Love' (Sekadar meminjam istilah-istilah Orwell lewat novel ‘1984’ beliau.)
Maszlee Malik,
Tutor and PhD researcher
School of Government and international Affairs,
University of Durham, UK.
penulis juga adalah pejuang isu kemanusian di Palestin.
penulis boleh dilawati di
http://maszleemalik.blogspot.com
No comments:
Post a Comment